Kerajaan pertimbang darurat untuk kawasan terlibat pilihan raya


Mohd Farhan Darwis

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan mempertimbangkan memohon perisytiharan darurat untuk terlibatpilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2020.

KERAJAAN mempertimbangkan untuk memohon perisytiharan darurat untuk kawasan tertentu yang terlibat dengan pilihan raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.

Kerajaan Perikatan Nasional akan berbuat demikian dengan memohon kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut keperluan.

Beliau menjawab menjawab soalan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) yang bertanya sama ada permohonan darurat akan dibuat di kawasan yang terlibat dengan pelaksaaan pilihan raya.

“Dalam Artikel 150 jelas Agong ada kuasa untuk adakan proklamasi darurat seluruh negara atau mana mana bahagian, sekiranya dirasakan perlu mungkin kerajaan akan fikirkan.

“Kalau tak keseluruhan, mungkin mana-mana bahagian. Pokoknya dari segi perlembagaan ia dibolehkan,” kata Takiyuddin sewaktu soal jawab lisan di Dewan Rakyat. 

Ketika menjawab satu lagi soalan, Takiyuddin berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga bersedia untuk mewajibkan kempen PRK Batu Sapi dijalankan secara dalam talian sahaja.

Dalam jawapan kepada Lim Lip Eng (Kepong), beliau berkata semua perhimpunan dan ceramah boleh diharamkan SPR sewaktu PRK tersebut, yang ditetapkan untuk dijalankan pada 5 Disember.

Yang di-Pertuan Agong bada bulan lalu menolak permohonan kerajaan Perikatan Nasional untuk mengisytihar darurat tersebut kerana melihat pandemik mampu ditangani. 

Baginda juga menggesa semua ahli Parlimen bekerjasama untuk menangani pandemik dan meluluskan Belanjawan 2021 bagi menangani wabak besar itu.

Muhyiddin sewaktu mengulas keputusan itu bagaimana masih membangkitkan keperluan perisytiharan itu.

Jelasnya darurat perlu diisytihar untuk mengelak pilihan raya negeri PRN Sarawak dan juga pilihan raya kecil PRK Batu Sapi.

 

SPR sejak 13 Oktober lalu mengumumkan garis panduan baharunya untuk mencegah Covid-19 menetapkan tiada lagi kempen secara bersemuka untuk PRK Batu Sapi.

Ia termasuk ziarah calon atau penyokong parti ke rumah pengundi, dan kunjungan sekitar kawasan pilihan raya.

Selain itu SPR juga mencadangkan calon atau parti hanya dibenarkan membuka satu bilik gerakan sahaja dan menghalang bilik geraakan kecil atau tempat perkumpulan lain.

PRK Batu Sapi diadakan ekoran kematian penyandangnya, Liew Vui Keong yang meninggal dunia 2 Oktober lalu akibat komplikasi jantung dan paru-paru. – 5 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen