Polis tingkat pemantauan asrama pekerja asing dikuarantin di Bayan Lepas


Polis turut membantu dalam memastikan arahan kuarantin dipatuhi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 4 November, 2020.

POLIS meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan asrama pekerja asing di Jalan Kolam Ikan, Bayan Lepas dekat Balik Pulau bagi memastikan mereka yang bekerja di sebuah kilang berhampiran tidak melanggar arahan kuarantin, selepas kes positif Covid-19 membabitkan kluster Bayan dikesan di kilang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A.Anbalagan berkata ia melibatkan 199 warga asing yang terdiri daripada 112 wanita Indonesia serta 87 lelaki Nepal, dan pemantauan dijalankan dengan kerjasama petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata setakat ini tiada laporan pekerja warga asing yang tinggal di asrama itu ingkar dengan arahan kuarantin selama 14 hari seperti ditetapkan oleh KKM, dan pemantauan mendapati mereka juga tidak bercampur dengan komuniti lain di sekitar kawasan berkenaan.

“Polis sentiasa menjalankan rondaan di situ. Saya difahamkan bekalan makanan untuk mereka disediakan oleh ejen-ejen pekerja asing,” katanya pada sidang akhbar di Balik Pulau, hari ini.

Setakat ini, kluster Bayan melibatkan seramai 78 orang termasuk pekerja sebuah kilang di kawasan Perindustrian Bayan Lepas disahkan positif Covid-19, dan susulan perkembangan itu pekerja-pekerja di kilang berkenaan, termasuk 119 pekerja warga asing yang tinggal di asrama di Jalan Kolam Ikan telah diarah menjalani kuarantin.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Mukim 12 di Daerah Barat Daya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 6 hingga 19 November ini. – Bernama, 4 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen