Pusat latihan perisik Afghanistan diserang pengganas


Pasukan keselamatan mengawal jalan masuk ke pusat latihan perisikan Afghanistan selepas sekumpulan pengganas bersenjata menyerbu masuk. – Gambar AFP, 18 Disember, 2017.

MILITAN menyerbu sebuah pusat latihan agensi perisikan di Kabul pada Isnin, kata pegawai, mencetuskan pertempuan sengit dengan polis dalam serangan terbaru yang berlaku di ibu kota Afghanistan itu.

“Sekitar jam 10:10 pagi, sekumpulan penyerang bersenjata memasuki tapak pembinaan bangunan di pusat latihan NDS di Afsar, Kabul,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Najib Danish kepada AFP. NDS adalah singkatan untuk Badan Keselamatan Nasional, agensi perisikan Afghanistan.

“Pertempuran masih berlaku dan kami juga sudah melancarkan operasi.”

Tiada maklumat mengenai jumlah kematian dan kecederaan yang berlaku.

Nasrat Rahim, timbalan jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata bunyi tembakan dan letupan boleh didengar dari pertempuran itu.

Jalan masuk ke pusat itu sudah ditutup dan berpuluh anggota polis dan pegawai perisikan dilihat menghalang akses kepada orang ramai.

Masih tiada kumpulan bertanggungjawab kepada serangan itu.

Kabul menjadi salah satu tempat di Afghanistan yang sering menjadi sasaran pengganas dalam negara yang baru habis perang itu, menjadi tempat paling tidak selamat kepada orang awam ketika pengganas Taliban dan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) memperhebatkan serangan.

Keselamatan di Kabut diperketatkan sejak 31 Mei lalu apabila sebuah trak penuh bahan letupan meletup di kawasan penempatan diplomatik bandar itu, membunuh hampir 150 orang dan mencederakan 400 yang lain.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab secara rasmi, tetapi kerajaan menyalahkan kumpulan tempatan yang setia kepada Taliban, Haqqani.

Taliban mensasarkan kemudahan ketenteraan sejak kebelakangan ini termasuklah serangan pada Oktober yang membunuh 150 orang.

Pasukan keselamatan Afghanistan yang sudah diheret pelbagai skandal rasuah dan masalah displin anggotanya menyaksikan peningkatan kematian anggotanya yang disifatkan pemerhati AS berada pada tahap “tertinggi” sejak Nato mengakhiri misi mereka di negara itu pada 2014. – AFP, 18 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen