.jpg)
BELANJAWAN 2021 akan dibentang oleh menteri kewangan pada hari Jumaat ini.
Berikut adalah aspirasi saya untuk Belanjawan 2021, khususnya bagi bidang pendidikan:
1. Peruntukan untuk Murid Berkeperluan Khas dan Pendidikan Khas terus meningkat
Sejak “Zero Reject Policy”/Dasar Sifar Penolakan dilancarkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019, bilangan Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang belajar di sekolah kerajaan meningkat secara mendadak.
Jumlah MBK setakat 30hb Jun 2020 telah mencapai 92,755 orang, berbanding 83,039 orang pada Januari 2019.
Susulan itu, peruntukan untuk Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK) juga bertambah dari RM100 juta pada 2018 kepada RM155 juta pada tahun 2020.
Kerajaan PH juga telah memperuntukkan RM23 juta untuk melengkapkan sekolah kita dengan kemudahan OKU.
Menjelang 2021, saya harap EMK akan terus meningkat, dana juga turut diperuntukkan untuk kemudahan OKU, supaya Dasar Sifar Penolakan akan terus memberi manfaat kepada lebih ramai Murid Berkeperluan Khas.
2. Mewujudkan suasana sekolah yang lebih kondusif dan selamat
Pada 2019, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengemukakan 17 cadangan sekolah baharu kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU). Malangnya, kebanyakan permohonan KPM telah ditolak oleh EPU.
Menurut NUTP, 57 sekolah melaksanakan sistem penggiliran bagi memastikan penjarakan sosial berlaku. Murid-murid mengambil giliran untuk balik sekolah kerana situasi sekolah yang sangat sesak.
Saya berharap, kawasan seperti Kota Kemuning, Kota Warisan dan Bukit Jalil akan diberi keutamaan dalam Belanjawan 2021, supaya sekolah baharu akan diluluskan di kawasan-kawasan tersebut.
Pada masa sama, dana penyelenggaraan sekolah telah meningkat dari RM600 juta pada zaman Barisan Nasional (BN) kepada RM735 juta pada zaman PH.
Dana penyelenggaraan dan penambahbaikan adalah penting untuk memastikan murid-murid kita dapat belajar dalam suasana yang kondusif. Dana ini juga penting untuk memperbaiki sekolah-sekolah yang berada dalam keadaan daif.
3. Menyediakan sarapan pagi yang berkualiti untuk murid-murid golongan B40
Program ini bertujuan memberikan makanan berkhasiat berdasarkan keperluan nilai kalori dan nutrisi penting serta amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran, pertumbuhan fizikal dan kognitif murid di peringkat sekolah rendah.
Pandemik Covid-19 telah memberi impak negatif dari segi sumber pendapatan kepada golongan B40. Sehubungan itu, lebih ramai murid golongan B40 dapat memperoleh manfaat daripada program ini, agar mereka mendapat makanan yang berkhasiat.
Saya berharap program ini akan mendapat bajet yang lebih besar, supaya lebih ramai murid golongan B40 dapat dibantu, juga kos per kapita akan meningkat dari RM2.35. Ini boleh dikaji supaya makanan yang lebih berkualiti dapat dibekalkan.
Saya amat memahami cabaran kewangan yang dihadapi oleh kerajaan semasa. Namun begitu, pendidikan adalah asas pembangunan negara.
Semasa negara kita dilanda dengan pandemik Covid-19, kepentingan dan kebajikan 4.7 juta orang murid dan pelajar kita tidak boleh diabaikan. – 4 November, 2020.
* Teo Nie Ching, bekas timbalan menteri pendidikan merangkap ahli Parlimen Kulai.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen