.jpg)
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditubuhkan seawal tahun 1951 dan merupakan salah satu dana tertua di dunia. Bayangkanlah beberapa generasi telah mendapat faedah daripada sistem ini.
Ini terbukti apabila Malaysia dinobatkan di nombor 12 terbaik sistem pencaruman di seluruh Asia. Selain itu, kita juga berada di taraf yang sama seperti Hong Kong dan Perancis. Ini menunjukkan sistem simpanan kita setaraf dengan negara-negara maju.
Jika pengeluaran wang persaraan merupakan idea terbaik, mengapa tiada negara-negara maju lain mengesyorkan idea yang sama?
Mandat atau matlamat utama KWSP adalah untuk membantu rakyat menabung bagi menjalani tempoh persaraan yang bermaruah dan baik. Walaupun mandat tersebut telah bertambah dari tahun ke tahun namun fokusnya tetap sama – untuk menjaga kebajikan rakyat pada hari tua.
Secara amnya, akaun di KWSP terbahagi kepada dua (Akaun 1 dan Akaun 2), dengan 30% wang pencarum di Akaun 1 manakala selebihnya 70% di Akaun 2.
Baru-baru ini, Najib Razak dan ramai ahli politik yang lain mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengeluaran wang dari Akaun 1 untuk membantu rakyat yang terkesan oleh Covid-19.
Saya menyangkal sepenuhnya idea tersebut.
Pertama sekali, adakah bijak bagi kita untuk mendengar nasihat kewangan dari seseorang yang terlibat dengan skandal rasuah 1MDB yang berbilion-bilion?
Keduanya, kita tidak akan tahu berapa lama kita harus bertahan dalam pandemik ini.
Pengeluaran wang pencarum hanyalah penyelesaian jangka pendek. Apakah yang akan terjadi jika kita berada lebih lama dalam situasi ini, adakah kita akan terpaksa menggunakan kesemua wang Akaun 1?
Bukankah kita sepatutnya mencari penyelesaian bagi jangka masa panjang? Mengapakah kita tidak mencontohi Australia, yang kerajaannya memberi golongan yang kehilangan pekerjaan subsidi upah dan pembayaran setiap dua minggu di bawah program Job Keeper.
Ketiga, kita harus menerima hakikat bahawa dinamik keluarga telah berubah. Anak-anak tidak lagi mampu menampung perbelanjaan orang tua kerana hidup mereka sendiri terumbang-ambing.
Zaman telah berubah akibat daripada kos dan tekanan hidup yang telah meningkat. Ini telah mengurangkan kemampuan anak-anak bagi menjaga ibu bapa dari segi kewangan. Ini bukan seperti cerita “si Tanggang” yang melupakan ibunya setelah menjadi kaya, tapi realiti kehidupan.
Berdasarkan laporan dari Khazanah Research Institite (KRI) hanya dengan pengurangan pendapatan RM700 sebulan mampu membawa sebuah keluarga ke kancah kemiskinan.
Kita harus menyedari bahawa realiti hidup dahulu dan sekarang telah banyak berubah. Jadi simpanan wang di KWSP amatlah penting bagi individu untuk menjaga kelangsungan hidup mereka di hari tua dan mengurangkan beban anak-anak.
Keempat, mengikut statistik lebih daripada 5 juta rakyat Malaysia dijangka akan berusia lebih daripada 60 tahun menjelang 2030 dan 2035 iaitu sebanyak 15%.
Ini masalah sama yang dialami oleh negara Jepun yang mempunyai lebih daripada 20% golongan tua.
Jangka hayat yang telah meningkat kerana dua faktor iaitu tahap kesihatan dan taraf hidup yang telah meningkat. Individu lebih terdedah kepada pelbagai penyakit terutama di umur yang lebih lanjut.
Bagaimana mereka ingin membayar kos rawatan di hospital yang kian meningkat? Kadang kala amat susah untuk bergantung kepada hospital kerajaan kerana ramai yang masih beratur menunggu. Tanpa wang yang cukup adakah kita menjangkakan mereka bekerja pada umur 60 tahun?
Saya menyeru kepada KWSP agar memegang mandat rakyat ini. Jangan biarkan ahli politik menjadikan dana ini tempat untuk mereka menjadi jaguh kampung. Pertahankanlah hak rakyat agar ramai tidak tersekat pada masa akan datang. – 4 November, 2020.
* Sophie Shakur adalah pembaca The Malaysian Insight.
Komen