12 korban dan 1,054 kes baharu Covid-19


Noel Achariam

Malaysia melaporkan 12 korban wabak hari ini, jumlah tertinggi sejak 10 kematian pada 23 Oktober lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2020.

MALAYSIA melaporkan 12 korban Covid-19 hari ini, jumlah kematian harian tertinggi pernah direkodkan sejak wabak meledak di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kali terakhir negara merekodkan jumlah kematian dua angka adalah pada 23 Oktober lalu apabila 10 orang terbunuh.

Kematian terbaru itu menjadikan jumlah korban wabak negara kini seramai 263 orang. 

Jumlah kes baharu harian pula sekali lagi mencecah empat angka apabila 1,054 kes jangkitan bahar dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 negara kini sebanyak 34,393 kes.

Kata Dr Noor Hisham, Sabah melaporkan 678 kes hari ini.

“Sejumlah 310 kes yang dilaporkan berkaitan dengan kluster penjara dan pusat tahanan sementara.

“Daripada jumlah itu, Kluster Rumah Merah melaporkan 229 kes,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Salah seorang korban wabak hari ini adalah budak lelaki warga asing berusia 14 tahun yang berpenyakit tibi meningitis dan hidrosefalus. 

Jelas Dr Noor Hisham, jangkitan Covid-19 kemudiannya memburukkan lagi kesihatan mangsa.

Lembah Klang merekodkan 150 kes hari ini, manakala 124 kes baharu dikesan di Selangor.

“Wilayah Persekutuan Labuan pula merekodkan 81 kes positif hari ini.

“Lima negeri ini menyumbang kepada 909 kes keseluruhan. Ini adalah disebabkan saringan yang dijalankan di negeri yang masih berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat.”

Tambahnya lagi, sejak 20 September lalu, terdapat 478 kes yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dilaporkan.

Setakat hari ini, 94 pesakit sedang dirawat dalam ICU dengan 32 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. – 3 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen