RAHUL Gandhi, 47, secara rasminya mengambil alih jawatan Presiden Parti Kongres India dengan ikrar memperkasakan politik demi masa hadapan golongan belia serta rakyat yang hidup dalam keadaan putus asa.
Beliau yang menceburi bidang politik sekitar 13 tahun lepas menggantikan ibunya, Sonia Ghandi, 71.
Parti Kongres India, yang berusia 132 tahun itu sebelum ini berada di barisan depan memperjuangkan kemerdekaan India dan turut menguasai tampuk pemerintahan negara itu untuk sebahagian besar tempoh 70 tahun sejak bebas daripada penjajahan.
“PoliTik adalah milik orang ramai. Ia adalah senjata terkuat mereka untuk merobohkan struktur penindasan serta menjatuhkan mereka.
“Cuma sekarang politik tidak digunakan untuk membela nasib rakyat tetapi untuk menekan mereka, ” kata Rahul dalam ucapannya di ibu pejabat Parti Kongres di New Delhi pada 16 Disember.
Kira-kira 2,000 orang hadir pada majlis berkenaan sementara ribuan lagi berkumpul di luar bangunan untuk menyaksikan peristiwa bersejarah yang mungkin membentuk politik India dalam tahun-tahun akan datang.
Sonia yang berketurunan Itali terpaksa melalui dunia politik India yang sukar selama lebih dua dekad di sebalik keengganannya untuk menjadi ahli politik.
Dalam ucapannya pada majlis yang sama, beliau berkongsi pengalaman hidupnya dengan keluarga Nehru-Ghandi. Beliau turut mengingatkam mereka yang hadir akan pembunuhan emak mentuanya, Indira Ghandi dan suaminya, Rajiv Gandhi.
Sonia berkata beliau sebenarnya tidak mahu suami serta anaknya menceburi politik India tetapi Rajiv menerima jawatan Perdana Menteri selepas pembunuhan Indira atas rasa tanggungjawab.
Penglibatan beliau sendiri dalam bidang politik juga kerana tidak mahu lari daripada tanggungjawab.
Sonia menggunakan hubungan kekeluargaan Nehru-Gandhi untuk memperkukuhkan Parti Kongres di sebalik pelbagai krisis yang berlaku.
Sewaktu beliau menjadi presiden parti pada 1998, Sonia mewarisi parti yang dicemari dua peristiwa yang mengaibkan India.
Kemusnahan Masjid Babri pada 1992 ketika kerajaan Kongres pimpinan P.V. Narasimha Rao adalah bencana paling besar yang meracuni hubungan perkauman di India.
Keganasan anti Sikh pada 1984 selepas pembunuhan India oleh pengawal peribadinya tercatat sebagai satu lagi lembaran yang memalukan dalam sejarah Parti Kongres.
Parti Kongres kehilangan banyak sokongan pada tahun-tahun 90an dan kemampuannya untuk menguasai agenda negara. Daripada sebuah parti yang gagah, parti itu terpaksa bergantung kepada sokongan parti lain dan mengalami kekalahan yang memalukan pada pilihan raya umum 2014.
Rahul menghadapi tugas mencabar untuk memulihkan parti dengan menarik golongan muda serta mereka yang tidak berpuas hati bagi memperluaskan sokongan akar umbi.
Pemimpin dan pekerja parti berasa yakin Rahul dapat menarik sokongan orang ramai.
“Gelombang perubahan akan dirasai di seluruh negara. Rahul akan dapat memenuhi aspirasi golongan muda, wanita serta miskin. Parti Kongres akan kembali berkuasa pada pilihan raya umum 2019, ” kata Sangeeta Garg, pekerja parti dari negeri Rajasthan, ketika beliau beramah mesra dengan pekerja-pekerja Parti Kongres.
Manmohan Singh, yang berkhidmat selama dua penggal sebagai perdana menteri dari 2004 hingga 2014, ketika berucap memuji Sonia yang disifatkannya telah menunjukkan “kepimpinan yang cemerlang”.
Beliau juga berkata Rahul mengambil alih tampuk kepimpinan Parti Kongres ketika “wujud keadaan yang tidak menentu” dalam politik India.
Menurut Singh, “politik kebimbangan” mengambil alih “politik harapan” meskipun masalah kemiskinan dan wabak penyakit masih melanda jutaan rakyat India.”
Rejaul Karim Laskar dari negeri timur laut Assam, berharap di bawah kepimpinan Rahul akan wujud komitmen baru untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan penduduk India yang yang mempunyai perbezaaan agama dan kebudayaan.
“Rantau timur laut adalah lebih kepelbagaian kebudayaan berbanding bahagian lain India tetapi pada hari ini, kami bimbang ada cubaan untuk menguatkuasakan satu budaya untuk semua orang. Selepas mendengar ucapan Rahul Ghandi, saya lebih yakin wilayah timur laut akan mendapat manfaat daripada kepimpinannya,” kata beliau.
Rahul menggunakan ungkapan yang menyakinkan dalam ucapannya yang disampaikan dalam bahasa Hindi dan Inggeris.
“Mereka memecah belahkan, kita satukan. Mereka menyalakan api, kita padamkan, Mereka menjadi marah, kita sambut dengan kasih sayang. Inilah [erbezaan antara kita dengan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mengutuk keras keganasan yang meletus baru-baru ini sebaliknya menyatakan India “kini kembali kepada Zaman Pertengahan di mana orang dibunuh kerana asal usul mereka serta apa yang mereka makan. Keganasan ini mengaibkan kita di mata dunia.”
Rahul yang dilantik sebagai Presiden Parti Kongres ke-49 memulakan karier politiknya pada 2004 menjadi ahli Parlimen apabila memenangi kerusi Amethi di Uttar Pradesh. Beliau adalah anggota keluarga ke-enam dalam keluarga India yang terkemuka itu mengetuai Parti Kongres.
Rahul yang masih bujang dan menggelarkan dirinya sebagai “idealis” adalah graduan dari Trinity College, Cambridge University.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Rahul semakin matang dalam karier politiknya, menjadi lebih bijak dan berjaya memenangi hati pemimin kanan.
Beliau adalah presiden de facto sejak tiga tahun lepas dan mengetuai beberapa kempen pilihan raya ketika ibunya, Sonia menjalani rawatan untuk masalah kesihatan yang dihadapinya. Beliau juga pernah menjalani pembedahan di Amerika Syarikat pada 2011.
Rahul menjadi naib presiden Parti Kongres pada 2013. Sebelum beliau aktif dalam dunia politik India, pemerhati politik menganggap adik perempuannya, Priyanka Ghandi yang berkahwin dengan seorang ahli perniagaan lebih mempunyai karisma dan sesuai untuk politik negara ini.
Seteru politik Rahul sudah tentunya akan mencabar Rahul ketika beliau berusaha untuk membina semula parti yang banyak dilanda masalah. Namun sekurang-kurangnya beliau tidak mempunyai dua kelemahan ibunya yang sering dijadikan isu oleh nasionalis India iaitu darah keturunan asing dan kurang kemahiran bertutur bahasa Hindi.
Sonia banyak bergantung kepada pemimpin lama Parti Kongres sewaktu menjadi Presiden tetapi Rahul dijangka membuat perubahan besar dari segi dasar serta kepimpinan parti. – Bernama, 18 Disember, 2017.
Komen