Ucapan Mac, siasat November – mungkin ada motif politik, kata Khalid Samad


Zaim Ibrahim

Khalid Abdul Samad hairan kenapa baru sekarang polis mendatanginya untuk mengambil keterangan berhubung satu kenyataan yang beliau buat lapan bulan lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2020.

KHALID Abdul Samad tidak menolak kemungkinan siasatan polis terhadapnya berhubung satu kenyataan yang beliau buat lapan bulan lalu bermotifkan politik.

Kenyataannya dalam satu ceramah di Shah Alam pada awal Mac, Khalid antara lain menyebut Presiden PKR Anwar Ibrahim sepatutnya dipilih sebagai perdana menteri kerana ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat tetapi Yang di-Pertuan Agong menamakan Muhyiddin Yassin.

“Hakikatnya ucapan dilakukan pada bulan Mac, tapi sekarang baru (polis) nak siasat. 

“Ada kemungkinan kerana mereka ada tujuan politik. Kita tunggu dan lihat sama ada kes ini akan dibawa ke mahkamah atau tidak,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Rakaman petikan ucapan itu disiarkan di laman web sebuah portal berita pada 7 Mac lalu.

Khalid berkata beliau hairan kenapa baru sekarang polis mendatanginya untuk mengambil keterangan bagi siasatan, jika benar ucapannya itu satu kesalahan.

Khalid menjelaskan beliau telah menjawab semua persoalan yang dibangkitkan oleh dua pegawai polis yang datang ke pejabatnya di Shah Alam pada Jumaat lepas, termasuk penjelasan mengenai “kerajaan pintu belakang”.

“Saya jelaskan takrifan kerajaan pintu belakang ialah kerajaan dipilih bukan daripada pilihan raya tetapi dibentuk melalui tindakan khianat ahli-ahli Parlimen lompat dan tukar parti.

“Saya juga jelaskan keputusan Agong sebelum ini adalah berpaksikan kepada keyakinan Agong sendiri untuk lihat siapa boleh dapat majoriti Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau juga menafikan membuat kenyataan yang menghina atau menuduh Yang di-Pertuan Agong sebagai perkauman.

Polis juga kelmarin memanggil Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa untuk diambil keterangan di Bukit Aman, juga berhubung kenyataan yang mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Kedua-dua pemimpin Amanah ini disiasat mengikut Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia, kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid.

Muhyiddin diangkat sebagai perdana menteri pada 1 Mac susulan percaturan politik yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan seminggu sebelumnya.

Selepas kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hilang majoriti di Dewan Rakyat, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memanggil semua ahli Parlimen untuk menghadap di Istana Negara bagi menilai siapa yang mempunyai sokongan majoriti. – 4 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen