PERIKATAN Nasional (PN) mempunyai jumlah sokongan yang cukup untuk memastikan Belanjawan 2021 lulus, oleh itu kerajaan tidak perlu memeterai perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) dengan pembangkang, kata Azalina Othman Said.
Jika Muhyiddin Yassin bersetuju memeterai CSA dengan pembangkang ini bermakna perdana menteri gagal memperoleh kepercayaan dari rakan sekutu dalam kerajaan, kata ahli Parlimen Pengerang itu.
“Kesimpulannya, CSA hanya perlu apabila kerajaan percaya Rang Undang-undang Perbekalan berisiko tidak mendapat sokongan dari sekutunya.
“Tidak seperti contoh yang boleh dilihat (New Zealand, Australia dan UK), Malaysia diperintah oleh satu gabungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PN ketika ini mempunyai 113 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.
Namun, ketegangan yang tercetus antara Umno dan Bersatu di bawah pimpinan Muhyiddin menyebabkan perdana menteri cuba mendapatkan sokongan daripada pembangkang untuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan.
Dalam sistem Parlimen Westminster seperti di Malaysia, perjanjian keyakinan dan pembekalan diperlukan oleh sebuah kerajaan yang tidak mempunyai sokongan majoriti untuk memastikan rang undang-undang perbekalan atau usul percaya diluluskan di dewan perundangan.
Mereka yang memeterai perjanjian itu sama ada akan mengundi menyokong atau tidak mengundi bagi memastikan usul bagi pihak kerajaan lulus.
Ia bagaimanapun tidak menyekat mereka daripada membangkitkan hujah yang bertentangan atau membantah dalam hal yang lain selain daripada dua perkara itu.
Beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Liew Chin Tong (DAP) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda) menggesa supaya CSA dimeterai menjelang pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat.
Antara tuntutan yang dikatakan diusul dalam perjanjian tersebut adalah peruntukan sama banyak bagi semua ahli Parlimen berjumlah RM3.8 bilion.
Azalina yang merupakan timbalan speaker Dewan Rakyat menggesa butiran perjanjian didedahkan jika benar ia dimeterai antara kerajaan dan pembangkang.
“Ini menimbulkan apakah keperluan CSA dibuat ketika ini? Tanpa pendedahan sepenuhnya atau kepastian mengenai butiran tawaran dalam perjanjian CSA, sebarang usaha ini akan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan,” katanya.
Sumber memberitahu The Malaysiain Insight kerajaan PN mula kemukakan cadangan kepada beberapa wakil rakyat pembangkang sejak awal Oktober untuk menyokong usul Belanjawan 2021.
Yang di-Pertuan Agong minggu lalu menasihatkan semua ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 demi mengutamakan kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.
Sabtu lalu Muhyiddin juga menggesa ahli-ahli Parlimen mengenepikan perbezaan politik untuk memerangi pandemik Covid-19. – 3 November, 2020.
Komen