Rakyat Australia dakwa klinik di Malaysia bertanggungjawab kematian anaknya


Leigh Aiple menjalani beberapa pembedahan plastik yang didedahkan tidak menepati tahap disyorkan pakar perubatan di Australia. – Gambar EPA, 18 Disember, 2017.

SEORANG warga Australia mendakwa klinik pembedahan plastik di Malaysia bertanggungjawab terhadap kematian anaknya yang menjalani pelbagai pembedahan di sana tiga tahun lalu, menurut Australian Broadcasting Company (ABC).

Grace Westworth memberitahu ABC anak lelakinya, Leigh Aiple, 31, mengumpul $35,000 (RM109,500) bagi menjalani pembedahan mengecilkan perut, sedut lemak, kelopak mata, dagu, paha, dada dan bibir di klinik pembedahan plastik di Kuala Lumpur.

Aiple kemudian kehilangan berat badan dan ingin membuang kulit yang berlebih bagi menyempurnakan usahanya untuk kurus.

Pada 2014, beliau ke Kuala Lumpur dan menjalani dua pembedahan di sebuah pusat perubatan selama lima hari.

Bagaimanapun, dia tidak dapat bergerak, berdiri, atau bangun dari katil selepas pembedahan, kata ibunya.

Selepas lima hari, dia diberi kebenaran pulang ke Australia walaupun luka pembedahannya terbuka, menyebabkan cecair dan darah membasahi tempat tidurnya.

Westworth berkata dia menjemput anaknya dari lapangan terbang, dan terkejut dengan keadaannya.

‘Dia turun dari pesawat dengan berkerusi roda, saya berkata:’ Bagaimana keadaan awak Leigh? ’ [dan] dia berkata: ‘Mengerikan - saya sangat sakit, saya tidak dapat menggambarkan rasa sakit’,” imbas Westworth.

“Apabila saya melihat luka yang terbuka, saya tidak percaya apa yang saya lihat. Saya dapat melihat isinya.”

Dalam masa kurang dari 24 jam, Aiple rebah di rumahnya di Melbourne, dan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Westworth meminta agar koroner menyiasat rawatan diterima anaknya di Malaysia, dan ia dimendedahkan sebagai “terlalu jauh daripada taraf piawaian Australia”.

Dia berkata anaknya “berisiko tinggi” kerana beratnya melebihi 120 kilogram, tetapi klinik itu masih meneruskan pembedahan.

Kematian Aiple didapati berpunca daripada “trombosis vena dalam, pembekuan darah di paru-paru, yang sering dikaitkan dengan penerbangan”, yang mana ia dikatakan didakwa terjadi di klinik sebelum pulang.

Ia juga mendedahkan tahap rawatan anti darah beku yang dikendalikan di klinik Malaysia “di bawah tahap yang disyorkan oleh Australia”.

Koroner Caitlin English memberi amaran kepada bakal pesakit agar menyedari risiko rawatan perubatan di luar negara.

Dianggarkan setiap tahun, 15,000 warga Australia ke luar negara untuk menjalani pembedahan kosmetik dan pergigian, menurut ABC.

Malaysia dilaporkan menerima 641,000 pesakit luar pada 2011, 728,800 pada 2012, 881,000 pada 2013 dan 882,000 pada 2014, susulan pemasaran agresif yang menjadikan negara sebagai lokasi pelancongan perubatan yang ideal.

Sejumlah besar pesakit datang untuk menjalani prosedur pembedahan kosmetik, yang merupakan antara termurah di rantau ini dan sehingga separuh kos di Australia.

Majoriti pesakit datang dari Indonesia, India dan Singapura diikuti Jepun, Australia dan Eropah. – 18 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen