INSTITUT Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bharu diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) selepas 46 orang pelatih disahkan positif Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Ismail berkata, PKPD itu akan bermula esok hingga 16 November.
“PKPD akan menjejaskan 1,559 orang termasuklah pelajar, guru dan keluarga mereka,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
“Dengan pelaksanaan ini, semua yang terlibat dikehendaki dan diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pergerakan keluar masuk ke ILKKM adalah tidak dibenarkan.”
Sementara itu penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) di Kampung Saguking Laut dan Kampung Sebor Baru di Labuan akan berakhir esok dan digantikan dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang lebih longgar.
Bagaimanapun, katanya, PKPD di Penjara Kepayan, Kuarters Penjara Taman Mat Salleh, Kampung Matambai pula akan dilanjutkan hingga 16 November.
“Semua orang perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) kecuali kes kecemasan seperti hadir majlis pengebumian saudara terdekat,” katanya.
Tambahnya, Majlis Keselamatan Negara juga membenarkan beberapa kelongaran PKPB di Sabah dibuat.
Katanya, ini termasuklah kelonggaran keluar kampung untuk membeli barangan keperluan asas seperti susu dan lampin bayi kerana kedai di kampung tidak menjualnya.
“Saya difahamkan sebilangan kedai di kampung hanya menjual barangan asas seperti beras dan tiada susu bayi, jadi berdasarkan ini, Majlis Keselamatan Negara membenarkan beberapa kelongaran dan membenarkan seorang keluar untuk pergi ke kedai terdekat untuk membeli barangan ini,” katanya. – 2 November, 2020.
Komen