KEKURANGAN pekerja asing adalah punca yang menghalang projek pembangunan di negara ini, bukannya kerana ujian saringan wajib Covid-19, kata syarikat pembinaan dan pemaju tempatan.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka berkata kos ujian saringan terhadap pekerja asing yang berinsurans ditampung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sementara bagi pekerja tidak berinsurans kos ujian diuruskan oleh majikan.
Pada 28 Oktober, Kementerian Kerja Raya dalam panduan soal jawabnya berkata, semua pekerja pembinaan asing yang berada dalam kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang tidak terpakai dalam zon merah mestilah membuat ujian saringan Covid-19.
Bagi melandaikan peningkatan kes Covid-19, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya telah diadakan bermula 14 sehingga 27 Oktober. Bagaimanapun, perintah itu dilanjutkan sehingga 9 November ini.
Semua aktiviti ekonomi termasuk industri pembinaan dan pembuatan dibenarkan beroperasi tetapi dengan syarat ketat prosedur operasi standard (SOP). Antara yang terkesan adalah pekerja asing yang terpaksa dikenakan ujian saringan wajib Covid-19.
Presiden Master Builders Association Malaysia (MBAM) Foo Chek Lee berkata, kebanyakan projek pembinaan pantas mengejar masa.
“Permohonan untuk melanjutkan tarikh akhir projek dibuat dan tapak pembinaan beroperasi seperti biasa untuk mengejar masa.
“Satu-satunya masalah ialah kerana kekurangan pekerja asing,” kata Foo.

Putrajaya membekukan pengambilan pekerja asing sehingga hujung tahun ini sementara kerajaan sedang berbincang untuk membenarkan sektor pembinaan, pertanian dan perladangan mengambil pekerja asing baharu pada tahun depan.
Foo berkata pekerja pembinaan asing turut mencari kerja lain yang dapat mengelakkan mereka dari bekerja di tapak pembinaan.
“Bila mereka tukar kerja, mereka akan jadi pekerja asing haram.
“Ramai pekerja asing sah telah pulang ke negara masing-masing sebelum PKP pada Mac lalu dan kini mereka tidak dapat pulang memandangkan sempadan telah ditutup,” kata Foo.
Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (Rehda) cawangan Selangor Ho Hon Sang berkata pekerja boleh meneruskan kerja mereka sementara menunggu keputusan ujian saringan Covid-19.
“Pembinaan boleh diteruskan seperti biasa, oleh itu, semua penangguhan boleh diteruskan,” kata Ho, menambah tiada pekerja asing di tapak pembinaan di Selangor yang positif Covid-19.
Bekas pengerusi Rehda cawangan Selangor Zulkifly Garib bersetuju garis masa projek tidak akan memberi sebarang kesan asalkan projek diteruskan.
Dalam garis panduan Kementerian Kerja Raya turut menekankan pekerja pembinaan asing yang bebas simptom Covid-19 boleh kembali bekerja sementara menunggu keputusan ujian saringan.
Bagi pekerja tempatan dan pekerja asing yang mempunyai simptom pula, mereka boleh kembali bekerja setelah mereka sah bebas daripada virus.
Di samping itu, Kementerian Kerja Raya menjelaskan arahan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bahawa hanya 10% pekerja pengurusan yang boleh keluar bekerja. Arahan ini tidak terpakai kepada tapak pembinaan. – 2 November, 2020.
Komen