Hormati titah Agong tolak darurat


SAYA memahami kebimbangan perdana menteri semasa menyampaikan perutusan khas petang semalam, tentang pengendalian Pilihan Raya Kecil Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri Sarawak dalam situasi Malaysia masih berdepan dengan suasana pendemik.

Namun memohon pengisytiharan darurat sebagai alasan dan cara untuk menangguhkan keduanya bukan sahaja tidak perlu tetapi bukan jalan terbaik.

Umum mengetahui bahawa Barisan Nasional tidak akan bertanding di Batu Sapi dan gesaan saya ialah parti-parti lain juga memberikan laluan kepada Warisan bagi bertanding di Parlimen Batu Sapi tanpa dicabar.

Ini sebagai menghormati mendiang V. K Liew, bekas ahli Parlimen Batu Sapi dan mengelakkan PRK diadakan waktu ini.

Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan, maka kita boleh memberi laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional mengurangkan impak wabak korona kepada masyarakat.

Jika ini berlaku, PRK Batu Sapi tidak diperlukan.

Untuk PRN Sarawak, tempoh matang DUN Sarawak ialah 7 Jun 2021. Jika kerajaan negeri berkhidmat sehingga tamat tempoh tersebut, PRN akan diadakan 60 hari dari 7 Jun 2021. Ini membolehkan PRN Sarawak diadakan dalam bulan Ogos 2021.

Bayangkan implikasi darurat jika diisytiharkan, hanya untuk mengelakkan PRN Sarawak sedangkan ia boleh diadakan paling lewat 10 bulan akan datang.

Saya sangat meyakini kebijaksanaan ketua menteri Sarawak dan pastinya beliau akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira pelbagai dimensi kepentingan umum sebelum membubarkan DUN Sarawak.

Malaysia mempunyai Suruhanjaya Pilihan Raya yang bebas dan mampu mengendalikan pilihan raya dalam keadaan apa sekalipun sesuai keperluan Perlembagaan.

Adalah untuk SPR membuat keputusan bagaimana ia akan mengendalikan pilihanraya dengan protokol kesihatan sewaktu pandemik. SPR berwibawa memastikan proses demokrasi berjalan dengan sebaiknya.

Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ia mesti terus berfungsi dalam keadaaan paling getir sekalipun.

Justeru itu, semua pihak mesti menghormati kearifan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk menolak darurat, mempertahankan Perlembagaan dan mengiktiraf pencapaian baik kerajaan mengawal pandemik waktu ini. – 1 November, 2020.

*Mohamad Hasan adalah timbalan presiden Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen