MENJELANG sambutan Krismas, Mesir pada Ahad mengumumkan untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan di sekitar gereja bagi mencegah serangan pengganas, lapor agensi berita Xinhua.
Menteri Dalam Negeri, Magdi Abdel Ghaffar berkata, lebih banyak petugas keselamatan akan ditempatkan di jalan-jalan raya, memetik agensi berita MENA.
Langkah itu, susulan serangan ke atas sebuah masjid di Sinai Utara pada 24 November, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 310 jemaah dan mencederakan 120 orang lain.
Ia disifatkan serangan keganasan paling dahsyat dan yang pertama kali berlaku terhadap masjid dalam sejarah moden Mesir.
Mesir berjuang melawan gelombang keganasan yang membunuh ratusan anggota polis dan askar, sejak tentera melancarkan rampasan kuasa terhadap bekas Presiden Islam, Mohamed Morsi pada Julai 2013.
Serangan keganasan di di Sinai Utara menyasarkan anggota polis dan tentera, sebelum merebak ke seluruh negara yang menumpukan pula kepada minoriti Koptik Kristian.
Pengganas menyerang dua gereja Koptik di bandar Tanta dan Alexandria pada awal April, membunuh sejumlah 47 orang dan mencederakan 106 yang lain.
Kebanyakan serangan didakwa dilakukan kumpulan yang setia kepada kumpulan pengganas Daesh. – Bernama, 18 Disember, 2017.
Komen