Era miskin bandar menuju era tiada pekerjaan


Zainal Rashid Ahmad

SEJAK 2015 kita obses dengan dengan isu “miskin bandar”. Isu yang menggoncang kerajaan Najib Razak dengan stigma: “Koloni warga miskin Kuala Lumpur muncul akibat krisis kos sara hidup.”

Istilah miskin klasik yang berdemografikan kawasan pedalaman tidak lagi relevan. Orang Melayu miskin kini koloni bandar raya di seluruh negara.

Orang miskin bukan lagi petani atau nelayan di desa, tetapi warga kota yang bertarung demi sepinggan nasi.

Aturannya lebih ironi – miskin bandar bertarung dengan segala macam pekerjaan dan sumber pendapatan tetapi tetap tidak cukup makan.

Relatifnya, miskin pedalaman memang kekal wujud. Namun, masa sudah berubah.

Mengheret sinopsis novel “Ranjau Sepanjang Jalan” (RSJ) karya Shahnon Ahmad (1966) atau Peristiwa Demontrasi Baling (1974) sudah tidak lagi relevan.

Kisah kemelaratan keluarga Lahuma dalam RSJ pada dekad 60-an kerana kegagalan Dasar Pertanian dan Pembangunan Ekonomi era Abdul Razak sebagai perdana menteri, kini dianggap epik lama.

Begitu juga naratif kebangkitan pelajar universiti berdemonstrasi membela petani miskin di Baling, relevannya hanya sekadar catatan sejarah hebat gerakan mahasisiwa dekad 70-an.

Era Najib yang komplikated

Pada era Najib Razak, kos sara hidup mencipta istilah sosial yang hebat dan mencipta fenomena bagi kluster marhaen di ibu kota.

Miskin bandar merubah epik klasik. Koloni ini bukan lagi kisah beras dan ikan. Rakyat miskin bukan lagi isu harga padi atau hasil getah yang murah atau musnah.

Miskin bandar ialah kisah 2.8 juta isi rumah di bandaraya utama seluruh negara yang memiliki pekerjaan tetapdan gaji bulanan.

Malangnya, hidup tanpa memiliki akses pada kualiti makanan serta berdepan kesenjangan kualiti hidup.

Malah, 60% pendapatan gaji digunakan bagi melunaskan hutang.

Angka median pendapatan bulanan RM980 berdasarkan kayu ukur purba – menipu realiti kita selama empat dekat. Angka 0.4% penduduk yang dikategorikan miskin satu mitos demografi.

Hakikatnya, median gaji realisitik yang disarankan Wakil Khas Pertubuhan PBB, Dr Phillip Alston ialah RM3,126 sebulan.

Data realistik PBB ini enggan diterima kerajaan pada waktu itu. Hakikatnya mudah: sekiranya kayu ukur PBB diguna pakai, angka penduduk miskin di negara ini akan mencecah 20%.

Akhirnya BN jatuh apabila kalah PRU14. Beban domestik mengenai isu miskin bandar dipindah kepada kerajaan PH.

Dr Mahathir Mohammad sebagai Perdana Menteri PH segera tampil dengan Dasar Warisan Kemakmuran Bersama (WKB). Naratif pelan ini berjangka panjang (2021-2030).

Apabila PH jatuh pada Februari lalu, WKB diletakkan di bilik mayat. Atau mudah cakap: ia sudah dikafankan. Atau ditanam tanpa talkin.

Covid-19 bencana baru

Sejak 2015, gelombang beban kemiskinan di bandaraya sudah menjadi isu utama. Istilah miskin bandar ancaman utama menuju PRU14.

Walaupun skandal 1MDB dihebohkan pada waktu itu, ada sebab lain yang menjadikan “kluster RM2.6 bilion” mencipta virus yang ganas dalam mempengaruhi minda pengundi bandar.

Alasannya mudah. Pengundi bandar berasakan mereka jatuh miskin kerana wang negara dilenyapkan skandal 1MDB.

“Spin” politik menjatuhkan Najib secara moralnya ialah: “Rakyat miskin kerana PM mencuri dana negara”.

Sekarang Najib sudah jatuh. Kerajaannya sudah berlalu. Dr Mahathir juga sudah jatuh. Idea WKB kini di rumah mayat. Mudah cakap: miskin bandar sudah dilupakan.

Kluster miskin akibat pandemik

Perdebatan mengenai median purba RM980 sebulan sebagai miskin bandar atau realiti PBB dengan median RM3,126 sudah lenyap. Pandemik Covid-19 menjerumuskan definisi miskin menjadi “pandemik nasional tanpa demografi”.

Dengan 4.7% atau lebih 750,000 penganggur (berbanding 3.2% sebelum pandemik) pada awal Januari menyebabkan istilah miskin bandar diganti kluster miskin pandemik.

Angka anggaran 500,000 orang yang kehilangan pekerjaan atau terjejas perniagaan hingga gulung tikar muncul menjadi kluster akibat impak ekonomi Covid-19.

Kluster pandemik ini kini diwad ICU ekonomi. Miskin bandar sudah dilupakan sama sekali. Demografi kemiskinan dalam parameter baru ekonomi tiba-tiba bertukar pantas.

Pilot dan kru kabin, CEO dan pelayan hotel, pengurus dan kerani agensi penerbangan, pekerja di lebih 90,000 syarikat SME yang bangkrap kini dalam senarai terbaharu miskin bandar.

500,000 orang yang kehilangan pekerjaan akibat kegawatan ekonomi atau ratusan syarikat yang “bungkus” kerana ketiadaan aliran tunai mapan - kini menyertai kluster miskin bandar versi Covid-19.

Kisah bekas pilot dan bekas eksekutif

Seorang bekas pilot yang memandu Grab menerima seorang penumpang bekas eksekutif kilang.

“Nak ke DBKL ada apa?” Tanya pemandu Grab.

“Interview kerja,” kata bekas eksekutif kilang.

“Oh… sesi awak hari inikah?”

Anak muda berusia 20-an yang menumpang Grab yang dipandu lelaki 40-an itu kelihatan kaget dengan soalan itu.

“Kenapa tuan bertanya?” Balas penumpang.

Pemandu Grab menjawab: “Sesi saya semalam. Tapi rasanya saya akan gagal kerana bekas pilot mungkin tidak sesuai jawatan bergaji RM3,000.”

“Oh… semalam saya temuduga di restoran terkenal. Saya juga dikatakan tidak sesuai. Bekas pengurus kilang dianggap tidak sesuai sebagai pelayan meja makan.”

Begitulah tragiknya kehidupan. Bermula era miskin bandar dengan naratif: ada kerja tapi tak cukup makan, kini menuju keadaan “tak ada kerja” dan tak lama lagi tak ada makanan. – 1 November, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen