Bukan usaha bentuk kerajaan perpaduan, kata Dr Mahathir Mohamad


Zaim Ibrahim

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pertemuan itu hanya pertemuan biasa antara "kawan lama".– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2020.

DR Mahathir Mohamad menafikan beliau terlibat dalam rundingan membentuk kerajaan perpaduan seperti yang didakwa ketika foto pertemuannya dengan beberapa pemimpin tersebar minggu lalu.

Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, pertemuan termasuk dengan bekas menterinya Tengku Razaleigh Hamzah hanyalah pertemuan biasa antara “kawan lama”.

“Ini kawan kita. Nak jumpa okay lah. Ku Li (Tengku Razaleigh) dia dulu dalam Kabinet saya. Dia nak jumpa tak kan nak kata tak boleh,” katanya ketika ditemui di Langkawi.

Jelasnya ia pertemuan serupa dengan beberapa tokoh lain termasuk Menteri Agama Zulkifli Mohamad dan bekas menteri pertahanan yang juga presiden Amanah, Mohamad Sabu.

“Saya jumpa Menteri Agama, Dr Zulkifli Mohamad sebab kenal dia dah lama. Dulu dia Mufti Wilayah Persekutuan, jadi memang kenal dengan dia.

“Dia datang kepada saya tunjuk buku-buku yang ditulis berkenaan Covid-19. Mat Sabu ni datang selalu, dia jumpa saya tanya pasal politik, bolehlah,” jelas beliau.

Mahathir menegaskan tiada perbincangan mengenai kerajaan perpaduan dengan pemimpin seperti Mohamad dalam pertemuan itu kerana usaha itu dihalang individu tertentu.

“Tak bincang, tidak ada. Kita tak boleh buat dengan dia. Ada orang tak bagi. Ada orang tak bagi bukan dengan Mat Sabu…Dengan parti dia,” tambah Mahathir.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan siapakah individu yang dimaksudkannya

Dakwaan mengenai rundingan untuk membentuk kerajaan perpaduan itu tersebar ketika krisis yang melanda pentadbiran kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin diketahui umum sejak dua bulan lalu.

Krisis itu memuncak apabila pentadbiran Muhyiddin yang didakwa tidak menguasai majoriti di Dewan Rakyat memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat.

Susulan itu beberapa keping gambar Dr Mahathir bersama pemimpin-pemimpin itu disebarkan di media sosial melalui kelab penyokongnya, Kelab Che Det pada 29 Oktober.

Dalam kenyataan itu, Kelab Che Det seolah-olah mengaitkan pertemuan tersebut dengan usaha pembentukan kerajaan perpaduan. – 1 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen