Tentera AS selamatkan tebusan di Nigeria 


Pasukan tentera Amerika Syarikat tidak mengalami sebarang kecederaan ketika melakukan operasi menyelamat mangsa culik di Nigeria.– Gambar EPA, 1 November, 2020.

PASUKAN tentera Amerika Syarikat berjaya menyelamatkan warganegaranya di Nigeria beberapa hari selepas diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Niger sebelum dibawa merentasi sempadan negara itu.

Tebusan terbabit, Philip Walton, diculik pada malam Isnin di pinggir Massalata, sebuah perkampungan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sempadan Nigeria.

Walton dalam keadaan selamat dan kini di bawah jagaan Jabatan Negeri Amerika Syarikat, kata Pentagon dalam satu kenyataan.

Dalam operasi menyelamat itu, pasukan tentera AS tidak mengalami sebarang kecederaan, tambahnya.

“Amerika Syarikat komited dalam menyelamatkan semua warganegara yang dijadikan tebusan,” kata Setiausaha Negara AS Mike Pompeo dalam kenyataan berasingan.

“Kami menerima berita lewat tengah malam tadi yang mana beberapa anggota kita yang berani dan berkemahiran tinggi menyelamatkan warganegara AS,” katanya.

Presiden Donald Trump turut memuji operasi menyelamat itu.

“Kemenangan besar buat pasukan elit tentera AS hari ini. Butiran lanjut akan menyusul,” tulisnya menerusi Twitter.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Nigeria Issoufou Katamber mengesahkan pembebasan tebusan berkenaan kepada AFP tanpa memberi penjelasan lanjut bagaimana mangsa mangsa dibebaskan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, penculik menghubungi bapa mangsa dan meminta wang tebusan, walaupun pihak keluarga mangsa tidak mengesahkannya.

Bapa mangsa yang turut tinggal Niger sejak hampir 30 tahun lalu berkata, Walton tinggal di Massalata bersama isteri dan dua anaknya sejak dua tahun lalu. – AFP, 1 November, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen