Taufan Goni hampiri Filipina 


Taufan Goni kini menuju ke Filipina dan dijangka akan menjadi lebih kuat ketika menghampiri negara itu.– Gambar EPA, 1 November, 2020.

TAUFAN Goni diramalkan bakal melanda Filipina pada Ahad selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran kerosakan teruk kerana angin kencang yang dibawa taufan berkenaan dan hampir sejuta penduduk dipindahkan. 

Bencana alam paling kuat tahun ini itu dijangka akan membadai Pulau Catanduanes dengan angin berkelajuan 215 kilometer sejam sebelum merentas kepulauan Luzon, menurut ramalan kaji cuaca negara berkenaan. 

Situasi di Catanduanes dijangka berdepan bahaya, menurut pusat kaji cuaca dalam kenyataan terbaharu. 

“Jangkaan kerosakan akibat angin kencang di Catanduanes, Camarines Sur dan daerah Albay,” katanya. 

Taufan Goni yang berubah menjadi taufan lebih kuat ketika menghampiri Filipina itu muncul beberapa minggu selepas Taufan Molave membadai kawasan yang sama. 

Ribut berkenaan meragut 22 nyawa serta menyebabkan banjir dan kerosakan di kawasan pertanian dan perkampungan, sebelum merentasi Laut China Selatan ke Vietnam.

“Nampaknya kita akan hadapi angin yang sangat kencang, meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh,” kata jurucakap Majlis Pengurusan Bencana dan Pengurangan Risiko Nasional, Mark Timbal kepada stesen TV ABS-CBN pada Sabtu. 

“Ribut akan berlaku di pantai timur. Kami sedang memantau gunung berapi Mayon dan Taal untuk kemungkinan banjir lumpur.” – AFP, 1 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen