PRESIDEN Indonesia Joko Widodo hari ini mengutuk keras Presiden Perancis Emmanuel Macron yang mempertahankan penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad.
Presiden negara yang memiliki populasi Islam terbesar di dunia itu turut menyelar alasan kebebasan bersuara bagi tindakan yang mencemar maruah dan kesucian agama Islam.
Perancis digemparkan dengan beberapa insiden serangan beberapa minggu lalu yang dikaitkan dengan pelampau Muslim, termasuk kejadian tiga orang maut ditikam di sebuah gereja di Nice pada Khamis.
Pada 16 Oktober lalu seorang guru di Paris yang dipenggal ekstremis Chechnya kerana menunjukkan kartun Nabi Muhammad kepada muridnya.
Macron mempertahankan tindakan guru berkenaan atas nama kebebasan bersuara.
“Pertama sekali, Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang berlaku di Paris dan Nice.
“Kedua, Indonesia juga mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan presiden Perancis yang menghina Islam, melukai perasaan umat Islam di seluruh dunia dan menyebabkan perpecahan, ketika dunia memerlukan kita semua bersatu menghadapi pandemik Covid-19,” kata Widodo.
Kartun-kartun yang dipertahankan Macron atas alasan kebebasan bersuara banyak kali diterbitkan majalah satira Charlie Hebdo.
“Kebebasan bersuara yang merosakkan kehormatan, kesucian dan nilaiagama tidak harus dibenarkan, malah perlu dihentikan.
“Mengaitkan agama dengan keganasan adalah satu kesalahan besar. Keganasan adalah keganasan, pengganas adalah pengganas. Keganasan tiada kaitan dengan mana-mana agama,” jelas Widodo. – AFP, 31 Oktober, 2020.
Komen