.jpg)
SEMALAM sekali lagi kita melihat gambar-gambar Menteri Perusahaan Perladangan dan Komiditi Mohd Khairuddin Aman Razali melanggar SOP pencegahan Covid-19 tular di media sosial.
Ini bukanlah kali pertama Khairuddin melakukan aksi durjana seperti ini – sebelum ini kegagalan dirinya melakukan kawalan kendiri selepas pulang dari luar negara telah menjadi isu nasional.
Walaupun perdana menteri telah berjanji untuk tidak memilih punggung untuk dirotan, tetap sahaja masalah ‘double standard’ dalam menghukum ahli politik yang liar masih berlaku.
Saya berpandangan keadaan ini dirangsang oleh mentaliti feudalistik yang ada pada kebanyakan rakyat kita pada hari ini.
Lihat sahaja gambar Khairuddin yang tular, ada seorang warga emas seperti tunduk kepadanya. Bukankah itu satu latar yang ironi? Tunduk kepada mereka yang sedang tidak peduli dengan nyawa orang lain?
Saya tidak gemar dengan istilah ‘yang berhormat’; setiap kali ia diucapkan – seolah-olah mereka dari kelas manusia yang berbeza.
Barangkali disebabkan hal ini ramai yang melihat dua set undang-undang yang berbeza untuk ahli politik dan rakyat biasa adalah hal yang normal.
Kalau saya diberi peluang untuk mengubah jenama ini – akan saya tukarkan kepada HR – hamba rakyat. Biar setiap kali gelaran itu diucapkan, mereka sedar tanggungjawab mereka bukanlah untuk menjadi orang besar, tapi berkhidmat untuk rakyat.
Barangkali ada yang berpandangan gelar-gelar seperti ini adalah isu remeh dan tidak relevan. Malangnya, kita harus akui ramai yang beranggapan kelas-kelas manusia ini wujud.
Contoh yang paling mudah – ramai yang jijik melihat warga asing dari Bangladesh, tetapi tersenyum gembira apabila dapat berbual dengan mereka yang berkulit putih dari Eropah.
Hakikatnya, mereka sama sahaja – warga asing di negara ini – atau lebih tepatnya, mereka sama sahaja: manusia seperti kita.
Secara tidak sedar, pemikiran minda terjajah ini terbenam dalam budaya kehidupan kita.
Oleh sebab inilah kita sering melihat kedatangan ‘YB-YB’ akan disambut meriah dan orang-orang kelihatan seperti sedang menyembahnya.
Apabila ada orang yang mengkritik kumpulan manusia ini, mereka akan berpotensi dilihat sebagai rakyat yang derhaka.
Apa itu berlaku sopan? Berlaku sopan adalah dengan cara tidak bercakap kasar dan santun dalam perbualan.
Ada beza yang besar antara kesopanan dan penyembahan – sama seperti ada perbezaan antara kritikan dan penghinaan.
Saya tidak ingin menyalahkan rakyat secara keseluruhan kerana budaya YB-YB datang dengan hadiah sudah menjadi amalan dalam masyarakat kita.
Disebabkan hal ini, mereka yang kurang bernasib baik mempunyai daya kebergantungan yang tinggi dengan ahli-ahli politik untuk membantu mereka. Padahal, kewujudan orang-orang miskin yang banyak adalah bukti ramai ahli politik tidak bekerja dengan baik.
Sekiranya kita berhasrat untuk menyah-tuhankan ahli-ahli politik, kita harus kurangkan kebergantungan rakyat kepada ahli-ahli politik ini.
Kesedaran untuk menyemak imbang ahli politik dalam masyarakat kita masih terlalu rendah, dan budaya ini harus segera diajarkan kepada rakyat.
Mengapa ramai ahli politik berani melakukan hal yang bodoh?
Tidak pun, mengapa Khairuddin tanpa rasa bersalah melanggar SOP pencegahan Covid-19 berkali-kali?
Jawapannya lebih mudah daripada apa yang anda bayangkan – kerana rakyat tidak berani melakukan apa-apa terhadapnya.
Apa yang paling ditakuti oleh wakil rakyat? Tak lain tak bukan, mereka takut akan akan kalah pada pilihan raya yang seterusnya.
Jika rakyat mempunyai pemikiran ahli politik yang dungu tidak patut dipilih semula, maka percayalah – ahli-ahli politik ini akan bekerja siang dan malam.
Manusia semua sama sahaja, dan untuk menjadi masyarakat yang kuat, kita tidak sepatutnya tunduk kepada mereka yang ada di bawah langit.
Seperti yang pernah diungkapkan Usman Awang: sesuatu bangsa tidak akan menjadi besar tanpa sifat kurang ajar.
Inilah masa yang terbaik untuk kita mengajar ahli-ahli politik ini tentang hakikat mereka hamba kepada kita, bukanlah tuhan. – 31 Oktober, 2020.
* Rahman Imuda, bekas aktivis mahasiswa.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen