SOP tidak kenal pangkat


SOP, standard operating procedure. Sepatutnya dipatuhi untuk mengekang penularan Covid-19. Sejak bermulanya gelombang kedua Covid-19, makin hari makin terpampang SOP baru di muka TV. Diumumkan oleh tidak lain, tidak bukan, Pak Long Mail mu. Perlu catit hari-hari SOP ini, terlalu sempurna dan masuk akal.

Satu kereta, dua orang. Satu meja, empat orang. Tidak ada sebut walaupun datang dari rumah yang sama. Terpinga-pinga kita memikir, siapalah yang begitu bijaksana dalam mencadangkan SOP sebegini. Satu perkara yang tidak tahu jawapannya, tidak nampak kepastiannya.

Tetapi usah risau, hanya satu perkara yang pasti. Dan yang pasti itu adalah SOP ini terpakai kepada semua.

Tidak kira anda menteri, ahli politik, doktor, peguam ataupun kerabat.

Sesiapa saja yang melanggar SOP ini, tindakan tegas akan diambil. Undang-undang tidak pilih kasih, SOP tidak kenal rupa, dan Covid-19 tidak kira harta.

Tidak pakai pelitup muka semasa berkempen? Pulang dari Turki/Sabah tidak kuarantin? Bertiga di dalam kereta Vellfire? Bermesyuarat dalam bangunan tengah-tengah malam? Duduk semeja nasihat untuk umum darurat tanpa penjarakan?

Terang lagi bersuluh, kesemua ini adalah kesalahan tidak mematuhi SOP. Jangan risau, sudah diberi amaran, sesiapa yang melanggar SOP akan dirotan. Abah sudah beri amaran.

Setiap hari diumumkan jumlah tangkapan melanggar SOP. Sudah pastinya golongan yang disebut di atas ini termasuk sekali. Siapa lagi kalau bukan mereka? Bukankah undang-undang buta pangkat dan darjat?

Kompaun sekurang-kurangnya RM1,000. Tiada diskaun. Jumlah ini bukan sedikit, tambahan lagi jika dikenakan pada yang kehilangan punca pendapatan akibat PKP.

Baguslah duit ini diambil dari golongan berada yang terang-terang melanggar SOP. Boleh diberi kepada yang memerlukan, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ahli politik, nelayan, petani dan doktor tiada bezanya. Darah sama merah, kubur sama tanah. Tiada beza mereka ini pada mata undang-undang.

Pangkat bukan sekadar pangkat, ia datang sekali dengan amanah yang berat. Yang berkuasa bukan saja bertanggungjawab melaksanakan amanah ini, malah perlu tunjukkan kepada rakyat yang amanah ini dilaksanakan. Rotan kan ada. – 31 Oktober, 2020.

* Pak Li ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen