Lapangan terbang alami gangguan elektrik, ratusan penerbangan ditunda


Para penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson di Atlanta, Amerika Syarikat disebbakan bekalan elektrik yang terputus pada Ahad. – Gambar EPA, 18 Disember, 2017.

LAPANGAN terbang Atlanta yang merupakan antara paling sibuk di dunia mengalami gangguan bekalan elektrik semalam yang mengakibatkan ratusan penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta mengalami gangguan bekalan elektrik sejurus selepas 1 petang hari ini,” kata lapangan terbang itu dalam satu kenyataan semalam.

Pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengumumkan larangan pendaratan ke Atlanta.

“Menara FAA boleh beroperasi secara normal. Namun, pelepasan ditunda kerana peralatan lapangan terbang di terminal tidak berfungsi,” katanya di Twitter.

Pelbagai teori tular di dalam talian berhubung kejadian itu termasuk bekalan tenaga dipotong oleh kru pembinaan dan kebakaran berhampiran tren intra-terminal.

Bagaimanapun, pihak lapangan terbang berkata “punca kejadian masih disiasat”.

Flightview.com, yang mengesan data perjalanan udara, menyenaraikan ratusan penerbangan lewat atau dibatalkan, dan graf bar di laman sesawang ini menunjukkan lebih 80% penerbangan berlepas di lapangan terbang dan 80% penerbangan tiba lewat.

Satu lagi laman sesawang pengesan penerbangan, flightstats.com, juga melaporkan kelewatan akibat kejadian di lapangan terbang Atlanta itu. – AFP, 18 Disember 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen