SEBUAH tempat makan Kantin Mu Zi di Kepong, Kuala Lumpur berpegang pada cogan kata “makan dulu, bayar kemudian” apabila menyediakan makanan percuma kepada mereka yang hilang mata pencarian atau berdepan masalah kewangan akibat Covid-19.
“Kalau nak makan tapi tak ada duit, mereka boleh datang dan makan… bayar kemudian,” kata pemiliknya Jully Yap Ooi Lee, yang mengendalikan kantin itu sejak dua bulan lalu.
Kantin Mu Zi dibuka secara rasmi pada 12 Oktober. Pada masa itu ia sudah cukup terkenal dan cerita tentang kemurahan hatinya sudah diketahui ramai.
“Masa kami mula, ada seorang lelaki umurnya 25 tahun… datang setiap hari makan dua pinggan nasi. Selepas makan dia akan minta kami bungkus sedikit untuk bawa pulang, untuk keluarganya.
“Mula-mula kami bagi dia bungkus bawa balik untuk tiga orang. Tapi kemudian kami bersembang untuk faham keadaannya.
“Dia pelajar kolej, ambil bidang seni reka. Dia juga kerja sambilan sebagai wakil khidmat pelanggan. Dalam keluarga lapan orang, dia satu-satunya yang bekerja selepas kakaknya hilang kerja sejak wabak,” kata Ong.
Lelaki itu juga katanya akan datang ke Kantin Mu Zi di Jinjang Selatan dengan menaiki bas dari Subang, setiap hari.
“Selepas tahu ceritanya, kami siapkan tujuh hingga lapan bungkus makanan untuk dia bawa balik,” tambah Ong.
Sejak mula-mula dibuka lagi, pihak pengurusan sudah tahu akan ada orang yang mahu makan tetapi tidak mampu untuk membayar makanan mereka, katanya.
Tetapi Ong dan kawannya, yang beliau sebut dengan nama Li, percaya usaha mereka bersandar pada kepercayaan bahawa semua orang berhak makan, tidak kira mereka berduit atau tidak.
Kalau ada yang mahu menderma, mereka juga dialu-alukan, katanya. Bukan jarang pula tabung yang mereka sediakan kosong hampir setiap hari.
Bagaimanapun banyak orang kemudian menyumbangkan sayur-sayuran segar, makanan kering malah tong gas untuk memasak.
“Jadi kami senaraikan barang keperluan dan orang datang menderma. Saya berterima kasih pada mereka yang juga bersemangat membantu orang lain yang memerlukan.”

Ong berkata pernah ada seorang lelaki yang menjual jam tangannya untuk membantu ks operasi kantin itu.
“Masyarakat ini tidaklah seburuk yang kadang-kadang kita sangka. Ada banyak orang yang murah hati.
“Mereka jadi kekuatan kami untuk meneruskan usaha ini,” katanya.
Ong yang ada pengalaman dalam kerja sosial berkata kerja memasak dikendalikan oleh seorang tukang masak profesional sementara pekerja dapur yang lain sukarelawan.
Mereka masing-masing ada kaitan – kawan, ahli keluarga, atau kawan keluarga, yang kebanyakannya suri rumah. Mereka bertugas di kantin ini bergilir-gilir apabila mempunyai masa lapang.
Kantin ini juga menerima sukarelawan yang mahu membayar makanan dengan sumbangan tenaga.
“Kami tidak kira agama atau kaum. Selepas dibuka, orang apa pun datang untuk makan.
“Kalau lapar, jangan malu. Tetapi kalau tak ada duit dan malu untuk makan percuma, hendak jadi sukarelawan pun boleh.”
Makanan di Kantin Mu Zi tidak melibatkan daging sebaliknya hanya sayur-sayuran.
“Li yang mencetuskan usaha ini juga tidak makan daging. Memang cita-citanya hendak buka restoran makanan sayur-sayuran.
“Apa yang kami buat sekarang ialah menggabungkan pengalaman kerja amal dengan cita-cita, dan jadilah Kantin Mu Zi,” kata Ong.
Kantin ini menyajikan enam hingga lapan hidangan sehari dan kurang menggunakan minyak, gula, garam atau perasa.
Menurut Ong, kantin ini mendapat dukungan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, yang turut membantu mencarikan dana untuk mereka.
Apabila Covid-19 reda nanti, Ong berkata, pihaknya merancang meluaskan operasi Kantin Mu Zi dengan menawarkan beberapa khidmat tambahan seperti perubatan tradisional Cina, gunting rambut dan kelas memasak.
“Saya harap orang akan memberi sumbangan atau jika tidak pun bercakap tentang kantin ini sebagai tanda sokongan,” katanya. – 31 Oktober, 2020.
Komen