Individu bekerja sendiri mesti dapatkan surat kebenaran polis, kata Ismail Sabri


Noel Achariam

Individu yang bekerja sendiri boleh memohon kebenaran di balai polis sekiranya ingin merentas daerah untuk keluar bekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.

INDIVIDU bekerja sendiri boleh memohon kebenaran di balai polis sekiranya ingin merentas daerah, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata mereka perlu pergi ke balai polis berdekatan bagi mendapatkan surat kebenaran bekerja atau merentas daerah.

“Kami faham mereka tidak mempunyai majikan untuk mengeluarkan surat kebenaran menyatakan di mana mereka bekerja.

“Nasihat saya adalah untuk mendapatkan surat kebenaran pergerakan daripada polis,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri memberi maklum balas terhadap kes pemilik kedai makan yang didenda RM1,000 dalam sekatan jalan raya kerana tidak memiliki surat kebenaran daripada majikan kerana bekerja sendiri. 

Beliau berkata menerusi surat kebenaran itu mereka dibenarkan untuk melalui sekatan jalan raya.

“Ini cara terbaik untuk mereka yang tidak ada majikan,” katanya.

Ismail Sabri berkata sebanyak 293 SJR turut dilaksanakan semalam.

Katanya seramai 553 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 532 daripada mereka dikompaun manakala 21 orang ditahan reman. 

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (153), gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran pelanggan (165), penjarakan fizikal (87), premis beroperasi lebih masa (37), aktiviti di pusat hiburan (18) dan lain-lain (93). 

Beliau berkata seramai 46 warga asing ditahan dan lima kenderaan dirampas semalam dalam Ops Benteng bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin selain membendung penularan pandemik COVID-19.

Ismail Sabri juga berkata sejak 24 Julai hingga semalam, sejumlah 57,396 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.  – 30 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen