Miskin bandar terus tanggung kesan Covid-19, kata kajian PBB


Hailey Chung Wee Kye

PKP bagi mengekang Covid-19 menjejaskan pendapatan, pendidikan dan kesihatan mental keluarga berpendapatan rendah di perumahan rakyat di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.

PERINTAH kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang Covid-19 menjejaskan pendapatan, pendidikan dan kesihatan mental keluarga berpendapatan rendah di perumahan rakyat di Kuala Lumpur, kata dua agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun mereka umumnya sudah mula pulih selepas PKP dilonggarkan pada Mei, namun ia belum sampai ke tahap sedia kala seperti sebelum pandemik melanda, kata Tabung Kependudukan PBB (UNFPA) dan Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef).

Kajian dua badan itu mendapati jumlah mereka yang jatuh miskin masih ketara sementara tabungan yang ada makin menyusut.

Ia juga mendapati satu daripada dua keluarga di PPR di Kuala Lumpur kini hidup di bawah paras kemiskinan, kesan krisis Covid-19.

Pada masa sama, 97% kanak-kanak di perumahan itu relatifnya miskin, begitu juga semua keluarga yang ada orang kurang upaya.

Ahli ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid berkata punca utama kemiskinan dalam keluarga berpendapatan rendah di perumahan rakyat di Kuala Lumpur ialah pengangguran.

“Secara keseluruhan, dalam 100 rakyat Malaysia, lima daripadanya tidak bekerja. Tetapi dalam 100 dewasa di flat kos rendah, 35 daripada mereka tidak bekerja.

“Hampir 1 daripada 3 dewasa di flat kos rendah tidak bekerja,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara awal minggu ini.

Muhammed ialah pengarah urusan DM Analytics yang mengendalikan kaji selidik bagi pihak UNFPA dan Unicef.

Ahli ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid berkata punca utama kemiskinan dalam keluarga berpendapatan rendah di perumahan rakyat di Kuala Lumpur ialah pengangguran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Oktober, 2020.

Kajian bertajuk Keluarga di Pinggiran melibatkan 500 isi rumah dari 30 keluarga di 16 rumah pangsa perumahan rakyat (PPR) di Kuala Lumpur. Ia dijalankan selama sembilan bulan antara Mei hingga awal tahun depan.

Bahagian pertama laporan dikeluarkan pada hujung Ogos manakala bahagian kedua dikeluarkan hari ini.

Pendapatan, simpanan menyusut

Kajian untuk laporan kedua ini dilakukan antara September dan awal Oktober, ketika sekatan PKP sudah dilonggarkan yang membolehkan kegiatan ekonomi kembali berjalan termasuk sekolah dibuka semula.

Kajian itu mendapati walaupun pendapatan median isi rumah meningkat sebanyak 23% kepada RM2,233 daripada Mei 2020 hingga September 2020, ia masih kurang 10% berbanding tahun lalu, sebelum krisis Covid-19.

Jumlah simpanan juga merosot, kata Muhammed, apabila keluarga yang ditemu bual mengaku mereka terpaksa menggorek tabung untuk meneruskan hidup di tengah wabak.

Simpanan dalam kalangan ibu tunggal puratanya tinggal RM342 manakala keluarga yang ada orang kurang upaya mempunyai purata simpanan R72.

“Simpanan perlahan-lahan mula susut… 70% keluarga tiada simpanan,” katanya.

Laporan kedua ini juga mendapati 45% daripada mereka yang bekerja sekarang tidak dilindungi melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Jumlah ini lebih tinggi dalam kalangan ketua keluarga wanita (51%) dan ketua keluarga kurang upaya (73%), kata laporan itu.

“Kita perlu wajibkan mereka yang berniaga kecil-kecilan untuk mendaftar dengan KWSP dan Perkeso, kerana pada masa ini ia hanya pilihan,” kata Muhammed.

Kajian mendedahkan satu daripada lima keluarga berkata anak mereka kini sudah hilang minat untuk bersekolah, selepas sekolah ditutup berbulan-bulan akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.

Tidak sekolah, tiada makanan

Kajian Keluarga di Pinggiran juga mendedahkan satu daripada lima keluarga berkata anak mereka kini sudah hilang minat untuk bersekolah, selepas sekolah ditutup berbulan-bulan akibat penularan Covid-19.

Menurut Muhammed, tidak ke sekolah juga memberikan kesan kepada pemakanan dan pengembangan fizikal kanak-kanak terlibat.

“Kebanyakan kanak-kanak di rumah pangsa kos rendah ada isu bantut dan isu kesihatan.

“Kerajaan sebelum ini beri bantuan makanan di sekolah tetapi sekolah ditutup,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga berpendapatan rendah ini juga bergelut menanggung perbelanjaan untuk anak mereka ke sekolah.

“Kira-kira 4 daripada 10 ketua keluarga dan 1 daripada 2 ketua keluarga wanita mengatakan mereka tidak dapat menyediakan pelitup muka untuk anak,” kata laporan itu.

Keluarga terlibat juga merasakan pembelajaran dalam talian akan jadi cabaran utama sekiranya sekolah ditutup semula.

Sekolah di Kuala Lumpur sekarang ditutup semula susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dikenakan sejak 14 Oktober hingga 9 November.

Sementara itu, hampir 1 daripada 5 ketua keluarga dan lebih kurang 1 daripada 3 ketua keluarga wanita mengalami tekanan, susulan keadaan ekonomi dan kewangan yang tidak menentu, kata laporan itu.

“Ibu bapa berkata mereka bimbangkan masa depan anak-anak terutamanya dari segi pendidikan.

“Isu kesihatan mental yang mula ketara. Majoriti ibu tunggal dan orang kurang upaya tertekan,” kata Muhammed.

Jelas beliau, kerajaan perlu menangani semua isu ini dalam Belanjawan 2021, yang akan dibentang di Dewan Rakyat minggu depan, serta Rancangan Malaysia ke-12 tahun depan.

Laporan bahagian kedua ini turut menyenaraikan beberapa cadangan, antaranya melebarkan skim bantuan kewangan kepada lebih ramai kumpulan yang layak. – 30 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen