.jpg)
PEMBUNUHAN Samuel Paty, seorang guru sejarah pada 16 Oktober 2020 rentetan daripada keputusannya menayangkan imej karikatur Nabi Muhammad- dihasilkan Charlie Hebdo, majalah satira mingguan- sewaktu pengajaran subjek Kebebasan Bersuara telah menyaksikan respons keras kerajaan Perancis terhadap warganegara mereka yang beragama Islam.
Komuniti Muslim di Perancis kini sedang berdepan dengan tindakan kerajaannya, dengan siri-siri serbuan oleh pihak berkuasa untuk mencari suspek ekstremis Islam. Masjid-masih utama ditutup sementara operasi beberapa kumpulan kebajikan Islam ditamatkan.
Kartun-kartun Charlie Hebdo turut dipancarkan ke bangunan-bangunan utama sekitar Perancis atas semangat solidariti terhadap Samuel Paty dan meraikan kebebasan bersuara.
Pada masa sama, China sedang berusaha keras menafikan tuduhan dan dakwaan komuniti global terhadap jenayah yang sedang dilakukan terhadap Muslim Uighur di daerah Xinjiang.
Beberapa orang senator di Amerika Syarikat (AS) pula, sedang berusaha mengeluarkan resolusi Senat untuk mengklasifikasikan tindakan kerajaan China sebagai pembunuhan beramai-ramai (genocide) yang akan memberi kesan terhadap hubungan AS-China.
Laporan-laporan media utama dunia serta kumpulan hak asasi manusia mencatatkan hampir 1 juta orang Muslim Uighur telah menjadi tahanan di kem-kem “pemulihan” atas alasan “pendidikan semula” atau “pendidikan vokasional”.
Atas nama “memerangi ekstremisme”, pemantauan dan serbuan oleh pihak berkuasa dilakukan di samping pengumpulan sampel DNA, rampasan pasport dan penggunaan teknologi untuk mengikuti rutin harian mereka.
Apa yang berlaku di Perancis dan China merupakan “sekelumit anekdot” daripada senarai panjang penindasan yang terpaksa dilalui oleh Muslim di setiap belahan dunia.
Tambahan kepada kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin sejak tahun 1948 ataupun pembunuhan beramai-ramai Muslim Rohingya sejak 2017.
Mencicip nikmat demokrasi di dunia Islam
Demokrasi dan kebebasan di dunia Islam juga tidak lekang dengan cabaran-cabaran tersendiri.
Kita sudah tentu boleh mengimbau bagaimana nuansa demokrasi yang dinikmati oleh rakyat Mesir selama 1 tahun telah dirobek oleh rampasan kuasa tentera diketuai As-Sisi pada tahun 2013.
Julai 2016 mencatatkan, Erdogan di Turki juga hampir tersungkur oleh rampasan kuasa tentera yang digagalkan oleh rakyatnya sendiri.
Ulama pembaharuan Saudi, Salman Audah sedang berhadapan dengan hukuman mati atas tuduhan terlibat dengan gerakan anti kerajaan manakala Jamal Kashoogi - wartawan Saudi yang lantang mengkritik polisi-polisi Saudi - menemui ajal di dalam Kedutaan Saudi di Istanbul, Turki.
Di Malaysia, mandat rakyat yang dinafikan oleh pensejajaran politik pada Februari 2020 ekoran darpada Langkah Sheraton - dalam kekalutan rakyat menghadapi wabak Covid-19 - menyebabkan kerajaan persekutuan dan beberapa kerajaan negeri bertukar tampuk pemerintahan.
Ketidakstabilan kerajaan akibat majoriti tipis blok pemerintah yang telah berlanjutan selama lapan bulan memberi kesan yang buruk kepada keyakinan rakyat, bagi sebuah kerajaan yang kuat untuk memimpin rakyat mengharungi pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta isu sara hidup seharian.
Menggali pengajaran daripada Nabi Muhammad
Melakukan refleksi terhadap apa yang berlaku kepada dunia secara umum dan dunia Islam secara khusus, tidakkah pernah terlintas dalam fikiran kita mengenai persoalan “apakah yang telah Nabi Muhammad ajarkan supaya kita dapat bertindak dalam situasi sebegini?”
Sebagai seorang Nabi yang telah diturunkan dengan membawa rahmah untuk sekalian alam (rahmatan ‘lil ‘alamin) yang lengkap dan menyeluruh mencakupi segala aspek kehidupan dunia dan akhirat, sudah tentu bergunung pengajaran yang boleh kita ambil sepanjang 23 tahun tempoh kenabian Baginda.
Sebagai seorang Muslim yang beriman bahawa Nabi Muhammad sebagai utusan terakhir Allah adalah pelengkap kepada 2 ikrar kesaksian setelah lafaz mengesakan Allah sebagai satu-satunya Tuhan.
Mencintai Baginda Nabi saw pula melangkaui, bukan sekadar mengambil simbol-simbol keagamaan untuk dipamerkan akan tetapi turut memberikan keutamaan memahami intisari ajaran Baginda dan menterjemahkannya dalam bentuk yang praktikal.
Kesenjangan antara memahami konsep-konsep ajaran agama dan perlaksanaannya secara praktikal ini disinggung oleh Sayyid Qutb di dalam halaman pengenalan tulisannya yang terkenal iaitu “Petunjuk Sepanjang Jalan” (Milestones).
Salah satu peranan yang dimainkan oleh Nabi Muhammad sepanjang tempoh kenabiannya adalah memimpin. Bahkan peranan ini sudah mula dipupuk sejak sebelum baginda diangkat menjadi seorang Rasul dan teladan ini diteruskan oleh Khalifah Ar-Rasyideen.
Penjelasan panjang mengenai aspek ini telah banyak dikupas oleh ratusan jika tidak ribuan ilmuan baik dari Timur dan Barat.
Oleh kerana kepimpinan merupakan satu keperluan universal yang dituntut ke atas setiap Muslim mengikut kapasiti dan posisi masing-masing, adalah lebih baik kita mula mengguna pakai cara fikir sebagai pemimpin yang aktif mencari solusi kepada permasalahan kehidupan dan pada masa yang sama membentuk kecekapan dan kejujuran secara bertahap.
Dalam menyelesaikan masalah yang semakin kompleks ini, pendekatan dan polisi yang tepat serta pelaksanaan yang berkesan menjadi satu keutamaan yang perlu diberikan perhatian selain strategic fit yang turut memainkan peranan penting.
Umumnya, terdapat contoh-contoh tertentu yang dapat kita pelajari daripada kepimpinan Nabi Muhammad. Antaranya pemilihan (atau tidak memilih) sahabat Baginda untuk dihantar menjadi duta-duta dan panglima perang.
Bagi mencapai tujuan ini, metodologi yang efektif perlu dimanfaatkan dengan mengadunkan proses pendidikan yang didukung oleh tenaga pendidik yang berkualiti, generasi baru yang bersedia untuk melalui proses pendidikan tersebut serta ekosistem yang meraikan pendekatan ini.
Memperingati Maulid Nabi dalam suasana pandemik sudah tentu sambutannya tidak seperti tempoh normal.
Namun, ia memberikan sedikit ruang untuk kita menilai kembali dan bermuhasabah, adakah kita memperingati Nabi dengan memberikan fokus kepada esensinya atau sekadar hanya sambutan tahunan. – 29 Oktober, 2020.
*Awang Ilham adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen