Runding Belanjawan 2021 dengan pembangkang, kata Pakatan


Diyana Ibrahim

Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga berdiam diri apabila ditanya sama ada mereka akan menyokong belanjawan tersebut atau sebaliknya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Oktober, 2020

PAKATAN Harapan (PH) mahu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merundingkan Belanjawan 2021 dengan mereka sebelum cadangan belanjawan itu dibentang di Dewan Rakyat minggu depan.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung lebih dua jam petang tadi, selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, kata satu kenyataan blok pembangkang itu.

“Atas sebab-sebab itu Majlis Presiden Pakatan Harapan amat bersetuju dengan Duli Yang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 ini dirundingkan dengan pembangkang sebelum dibentang di Parlimen.

“Maka Perdana Menteri harus menjunjung titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 6 November, supaya ia dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Tuanku,” kata kenyataan itu.

Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam kenyataan semalam menasihati semua ahli politik supaya menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November depan.

Sokongan itu diperlukan kerana wujud keperluan mendesak untuk bekalan perubatan dan dana tambahan bagi petugas kesihatan yang sedang memerangi wabak Covid-19.

Pakatan Harapan mengadakan mesyuarat lebih dua jam sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung Belanjawan 2021. – Gambar ihsan Pakatan Harapan, 29 Oktober, 2020.

Muhyiddin berdepan cabaran besar kemungkinan Belanjawan 2021 ditolak, sekali gus hilang keyakinan ahli Parlimen yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Muhyiddin dan Kabinetnya minggu lepas memohon darurat diisytiharkan bagi melawan pandemik Covid-19 tetapi cadangan itu ditolak Yang di-Pertuan Agong.

Baginda menzahirkan kepercayaan dengan kemampuan kerajaan pimpinan Muhyiddin untuk mengekang penularan wabak berdasarkan tindakan yang sudah diambil.

Bagaimanapun PH tidak menyatakan adakah mereka akan menyokong belanjawan tersebut atau sebaliknya.

Ditanya perkara itu Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil enggan mengulas dan berkata, “rujuk dalam kenyataan”.

Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga berdiam diri apabila ditanya mengenai perkara itu.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen