MT Umno mesyuarat lagi malam ini, kata sumber parti


Kamles Kumar Alfian Z.M. Tahir

Ini kali kedua MT Umno bermesyuarat minggu ini, tiga hari selepas ia memutuskan menyokong nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mengendurkan ketegangan politik dan mengumumkan dokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2020.

MAJLIS Tertinggi Umno akan bermesyuarat sekali lagi malam ini dipercayai untuk memutuskan calon timbalan perdana menteri, yang disebut-sebut antara syarat kerjasama politiknya dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata beberapa sumber parti.

Ini kali kedua MT Umno bermesyuarat minggu ini, tiga hari selepas ia memutuskan menyokong nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mengendurkan ketegangan politik dan mengumumkan dokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

“Ya, ada mesyuarat malam ini,” kata seorang sumber dalaman parti kepada The Malaysian Insight.

Beberapa ahli MT Umno yang dihubungi berasingan juga mengesahkan panggilan mesyuarat malam ini.

Sejak beberapa hari lalu timbul desas-desus Muhyiddin akan merombak Jemaah Menterinya yang dibentuk pada Mac lalu serta menamakan seorang pemimpin kanan Umno sebagai timbalan perdana menteri.

Antara nama-nama yang disebut ialah Timbalan Presiden Mohamad Hasan, Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob dan bekas Naib Presiden Hishammuddin Hussein.

Mohamad bukan ahli Parlimen, sementara Ismail Sabri kini Menteri Pertahanan merangkap menteri kanan keselamatan, manakala Hishammuddin sekarang Menteri Luar Negeri.

Hishammuddin bagaimanapun dalam satu kenyataan petang ini berkata beliau tidak pernah berusaha untuk dilantik ke jawatan nombor dua dalam kerajaan itu, malah itu juga bukan keutamaannya sekarang.

“Saya percaya, perkara terpenting yang menjadi fokus Kerajaan dan UMNO sekarang ialah sidang Parlimen, Belanjawan 2021 dan mengurus krisis Covid-19, bukan soal jawatan,” katanya.

Hishammuddin berkata pendiriannya itu selari dengan keputusan mesyuarat MT Umno pada Isnin yang menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak berhenti berpolitik sebaliknya bersama-sama fokus melawan Covid-19.

Sementara itu, seorang sumber pimpinan tertinggi Umno berkata mesyuarat malam ini dipanggil kerana mereka dapat tahu Muhyiddin memutuskan timbalan perdana menteri tanpa merujuk kepada Umno.

“Ini hak kami,” katanya. – 29 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen