MENTERI Wilayah Persekutuan Annuar Musa berharap ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak akur dengan titah Agong untuk menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November.
“Nasihat adalah nasihat dan kami berharap ia dipatuhi tetapi tidak salah jika ada pihak tertentu yang ingin membuat pendirian sendiri kerana itu adalah hak mereka sebagai ahli Parlimen.
“Tetapi kami harap titah Agong dapat diberi perhatian serius,” katanya dalam sidang media hari ini.
Namun Annuar berkata sudah pasti ada yang meneka apa yang akan berlaku apabila Dewan Rakyat mengadakan persidangan ketiga pada 2 November.
Beliau berkata jika kita gagal menurut perintah Agong, ada kemungkinan kerajaan gagal meluluskan belanjawan yang menunjukkan hilangnya sokongan majoriti selama tujuh bulan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam menitahkan semua ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 susulan Covid-19 kerana terdapat keperluan mendesak untuk bekalan perubatan dan dana tambahan untuk pasukan bahagian hadapan.
Tindakan tolak belanjawan dapat dianggap sebagai tanda tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Berkenaan percubaan Putrajaya untuk mendapatkan kuasa darurat, Annuar berkata ramai yang salah faham bahawa undang-undang akan digantung jika darurat diisytiharkan.
Beliau berkata bahawa sekiranya berlaku darurat Agong akan diberi kuasa untuk membuat keputusan tertentu dan hanya klausa tertentu dalam perlembagaan persekutuan yang akan ditangguhkan.
Ini juga akan memendekkan proses kelulusan belanjawan kerana tidak perlu melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diluluskan oleh Agong, tambahnya.
Beliau berkata jika belanjawan tidak diluluskan, maka pilihan raya akan diadakan.
Ini akan menyebabkan berlakunya penyebaran Covid-19 yang semakin teruk, katanya. – 29 Oktober, 2020.
Komen