MENARIK pelancong “premium” datang ke Malaysia harus dijadikan keutamaan apabila sempadan dibuka semula kerana mereka sanggup membayar lebih dan menghabiskan masa lebih lama di negara ini, kata pemain industri.
Mereka berkata, pelancong biasa akan menangguhkan aktiviti disebabkan norma baharu termasuk perlu menanggung sendiri kos kuarantin selama dua minggu.
Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia Albert Tan berkata pelancong akan memberi perhatian terhadap keselamatan perjalanan dan mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti.
“Oleh itu, pelancongan berkualiti tinggi adalah penting untuk memastikan ketenangan fikiran pelancong,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurutnya fokus utama adalah menarik pelancong premium dari China, Eropah dan Amerika Syarikat kerana mereka sanggup tinggal selama sebulan atau dua bulan untuk lari daripada musim sejuk di negara masing-masing.
“Walaupun industri pelancongan tidak mendapat sebarang keuntungan tahun ini sejak Tahun Baharu Cina, kami tidak akan menyerah.
“Kami akan belajar dan merujuk kepada beberapa keadaan pelbagai negara yang telah membuka sempadan mereka.
“Kemudian kami akan merancang pakej pelancongan ‘norma baharu’ yang sesuai dan berlaku di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, mereka sudah meneliti dan memberi perhatian terhadap tempat makan, aktiviti luar atau kawasan tumpuan.
Salah satunya termasuk aturan tempat duduk untuk kumpulan pelancong di restoran.
Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) Uzaidi Udanis bersetuju bahawa pelancong yang melancong ke luar negara ketika wabak umumnya lebih memberi perhatian terhadap kualiti pelancongan.
Sebenarnya mereka cenderung untuk tidak memilih lokasi pelancongan yang sesak dan lebih suka ke destinasi khusus.
Uzairi berkata perbelanjaan perjalanan pasti akan meningkat walaupun sejauh mana kenaikan itu masih belum diketahui.
Beliau juga menyarankan kerajaan meneroka pelancongan bebas visa selama sebulan dan menerapkan visa khusus yang memungkinkan pelancong tinggal lebih lama selepas tempoh kuarantin.
“Jabatan Imigresen perlu mengkaji pemprosesan visa khas dan melakukannya tidak lama lagi sehingga tidak ada penangguhan ketika sempadan sudah sedia dibuka.
“Setelah sekatan perjalanan dari pelbagai negara dilonggarkan, saya percaya pelancong akan sanggup berhabis.
“Sebilangan pelancong adalah pesara yang mempunyai masa dan wang untuk melancong serta menginap di hotel lima bintang. Pelancong ini akan membantu industri pulih secara perlahan-lahan,” katanya.
Beliau juga mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan kebenaran perjalanan perniagaan kerana presiden atau ketua pegawai eksekutif syarikat besar biasanya tinggal di hotel lima bintang serta bersedia berbelanja yang juga membantu industri pelancongan.
“Sabah mempunyai pendapatan pelancongan tertinggi di Malaysia dan sekarang menjadi negeri paling terjejas teruk.
“Bagaimanapun kerajaan tidak boleh mengabaikan kawasan zon hijau yang lain dan secara bertahap perlu membuka semula sempadan. Kita harus melihat jangka panjang pasaran pelancongan,” katanya. – 31 Oktober, 2020.
Komen