Negara bukan Islam harus berani lawan Islamofobia


SUDAH sampai masanya semua negara terutamanya negara Barat dan bukan Islam mengambil satu langkah yang lebih proaktif serta berkesan untuk menyingkirkan sebarang sikap yang menjerumus kepada Islamofobia. 

Islamofobia adalah satu istilah kontroversi yang merujuk kepada sikap prejudis, prasangka dan diskriminasi khusus pada agama Islam serta umat Islam secara keseluruhannya. 

Walaupun rata-rata masyarakat dari kalangan negara Barat dan bukan Islam masih mengamalkan sikap toleransi antara agama dan budaya, namun masih terdapat segelintir individu serta pertubuhan di dunia barat yang suka melemparkan pelbagai kata-kata kesat serta perkara negatif terhadap agama Islam itu sendiri serta umat Islam secara keseluruhannya.

Ini termasuk tuduhan pengganas yang sering ditujukan terhadap agama Islam serta umat Islam, menghina tatacara kehidupan serta pemakaian umat Islam yang menutup aurat yang dilabel sebagai ketinggalan zaman serta dilihat sebagai satu bentuk penindasan khususnya terhadap kaum wanita.

Mereka juga mengatakan bahawa umat Islam masa kini adalah lemah kerana masih berpegang teguh terhadap ajaran agama Islam yang kuno serta ketinggalan zaman serta pelbagai tuduhan negatif lain yang telah menyinggung perasaan serta hati lebih satu billion umat Islam di serata dunia.

Akibat daripada pelbagai fitnah dan tuduhan negatif yang telah dilemparkan ini, ada umat Islam yang menjadi mangsa gangguan serta serangan individu serta pertubuhan yang tidak bertanggungjawab. 

Pada tahun 2019 yang lalu kita didedahkan dengan kemunculan sebuah video rakaman keselamatan yang melibatkan seorang lelaki yang telah menumbuk dan memijak seorang wanita Islam yang sarat mengandung tanpa provokasi di sebuah kafe di Sydney, Australia. 

Kejadian terbabit disifatkan oleh ramai pihak sebagai satu bentuk serangan Islamofobia. 

Pada tahun lalu juga seluruh dunia dikejutkan dengan insiden serangan terhadap umat Islam yang sedang menunaikan solat Jumaat di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand.

Kejadian dilakukan oleh pengganas kulit putih. Lebih 50 orang mangsa termasuk rakyat Malaysia kehilangan nyawa dalam kejadian berkenaan serta berpuluh-puluh mangsa lagi mengalami kecederaan parah.

Segala fitnah dan tuduhan negatif yang sering dilemparkan terhadap umat Islam menunjukkan bahawa individu serta pertubuhan yang terlibat betul-betul tidak memahami ajaran sebenar yang dibawa oleh agama Islam serta kehidupan sebenar umat Islam.

Akibat daripada kedegilan individu serta pertubuhan ini untuk belajar mengenali agama Islam secara dekat serta bercampur gaul dengan umat Islam itu sendiri menyebabkan perasaan syak wasangka dan salah faham wujud dalam pemikiran mereka. 

Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan segera, nescaya sikap Islamofobia ini akan terus berlaku serta mula mempengaruhi generasi muda di negara Barat dan bukan Islam.

Ini sekali gus akan meningkatkan lagi sikap Islamofobia orang bukan Islam terhadap umat Islam pada masa akan datang.

Oleh yang demikian, tindakan proaktif perlu diambil dengan serius dan segera bagi membendung sikap Islamofobia ini daripada terus berlaku. 

Antara langkah yang boleh dipertimbangkan untuk diambil ialah melalui sesi penerangan dan pendidikan berterusan.

Usaha penerangan dan pendidikan secara berterusan ini boleh dilakukan melalui sesi dialog, bual bicara, temu ramah, syarahan, serta debat antara umat Islam serta dengan masyarakat Barat dan bukan Islam. 

Negara Barat dan bukan Islam juga perlu memberi pendidikan awal kepada rakyat mereka di peringkat sekolah mengenai ajaran agama Islam yang sebenarnya.

Masyarakat Barat dan bukan Islam perlu tahu bahawa agama Islam mengutamakan kedamaian serta bencikan permusuhan. 

Agama Islam juga melarang keras umatnya untuk melakukan sebarang jenis penindasan dan kekejaman pada orang lain.

Agama Islam mengutamakan toleransi terhadap semua pihak tanpa mengira bangsa serta agama.

Tindakan keganasan yang dilakukan oleh segelintir umat Islam semenjak beberapa tahun kebelakangan ini tidak langsung mencerminkan dan mewakili ajaran agama Islam yang sebenarnya serta umat Islam keseluruhannya.

Masyarakat Barat dan bukan Islam harus menghentikan sebarang usaha untuk menyamakan agama Islam dan seluruh umat Islam dengan sebarang aktiviti atau perkara yang melibatkan keganasan.

Usaha juga boleh digerakkan di peringkat antarabangsa bagi mewujudkan satu bentuk konvensyen atau undang-undang khas dan jelas yang melarang sebarang perkara yang boleh menjerumus kepada sikap Islamofobia itu sendiri. 

Cadangan mewujudkan sebuah undang-undang khusus di peringkat antarabangsa mengenai perkara ini penting bagi memastikan tiada pihak yang sewenang-wenangnya melemparkan kata-kata kesat dan prejudis terhadap agama Islam serta umat Islam secara keseluruhannya hingga boleh membentuk suasana kebencian serta salah faham dalam masyarakat di semua negara. 

Kewujudan sebuah undang-undang khusus di peringkat antarabangsa mengenai isu ini juga dilihat penting supaya umat Islam dapat dilindungi daripada sebarang sikap Islamofobia yang jelas bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia yang sering dilaung-laungkan dan diperjuangkan oleh masyarakat Barat selama ini.

* Dr. Muzaffar Syah Mallow,  pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen