Contohi Thailand buka pintu kepada pelancong, kata pemain industri


Khoo Gek San

Pemain industri pelancongan tempatan mendesak Putrajaya mencontohi pembukaan semula sempadan Thailand kepada pelancong untuk membuka semula sektor berkenaan di sini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2020.

PEMAIN industri pelancongan tempatan mendesak Putrajaya mencontohi pembukaan semula sempadan Thailand kepada pelancong mengikut norma baharu untuk membuka semula sektor berkenaan di sini.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa keputusan Thailand membenarkan pelancong China dengan syarat ketat memberi mereka harapan dan semangat.

Pelancongan tempatan menyaksikan pemulihan kecil dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pada Jun namun kemudian kembali merosot apabila kes Covid-19 melanda semula pada akhir September.

Walaupun begitu, mereka merancang dan bersedia untuk tahun 2021 dengan harapan dapat mengatasi pandemik Covid-19 bagi menghidupkan kembali sektor pelancongan tempatan.

Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) Uzaidi Udanis berkata penduduk tempatan dan pelancong perlu belajar bagaimana menjalani hidup bersama-sama virus berkenaan dan jangan takut.

“Pada tahap ini orang ramai khuatir wabak semakin meningkat. Adalah penting untuk melihat bagaimana kerajaan Thailand bertindak balas terhadap ketidakpuasan hati rakyat.

“Bagaimana kerajaan akan menangani krisis dan menerima pelancong tanpa menyebarkan virus?

“Kita mesti bersedia untuk ini. Persatuan ini sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk membincangkan hal ini yang saya percaya kerajaan kita dapat menggunakannya sebagai rujukan,” katanya.

Uzaidi percaya Thailand dan Singapura adalah contoh dan mereka selangkah maju dalam menarik pelancong asing.

Thailand baru-baru ini memperkenalkan Visa Pelancong Khas (STV) untuk kumpulan pertama pelawat dari China bagi mengunjungi saudara mara atau untuk aktiviti perniagaan.

Beberapa persatuan pelancongan mengusulkan kepada kerajaan untuk membenarkan pelancong antarabangsa bercuti di pulau terlebih dahulu.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2020.

Kumpulan pelancong yang kedua dapat melakukan perjalanan untuk bercuti.

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia Albert Tan berkata kedua-dua kumpulan ini adalah contoh bagi Malaysia untuk menghidupkan semula sektor pelancongan tempatan.

“Pelancong tidak akan memilih Malaysia buat masa ini kerana sekatan ketat di mana penduduk tempatan juga tidak dapat melakukan perjalanan merentas negeri.

“Oleh itu kami mencadangkan kerajaan secara perlahan-lahan membuka sempadan. Sebagai contoh mereka boleh mula menggalakkan pelancong asing ke zon hijau atau mulakan kemasukan untuk pelancong perniagaan dari Singapura.

“Sekiranya kita menunggu wabak ini terkawal, ia pasti akan meruntuhkan sektor pelancongan di negara ini.

Lampu hijau untuk zon hijau

Presiden Malaysia Inbound Chines Association (MICA) Dr Angie Ng berkata industri itu berharap kerajaan mempertimbangkan untuk membuka semula kawasan zon hijau untuk pelancong antarabangsa.

“Cadangan awal kami adalah untuk membenarkan penerbangan terus antara Pulau Pinang dan Taiwan. Syaratnya ialah Taiwan tetap selamat dari Covid-19 dan Pulau Pinang tetap menjadi kawasan zon hijau selama tiga hingga empat bulan.

“Malangnya rancangan itu ditangguhkan selepas Pulau Pinang mencatatkan peningkatan jumlah kes Covid-19 baru-baru ini,” katanya.

Persatuan ini mengusulkan kepada kerajaan untuk membenarkan pelancong antarabangsa untuk bercuti di pulau terlebih dahulu seperti ke Langkawi.

Beliau berkata industri pelancongan dapat mengawalnya melalui penerbangan langsung atau menaiki kapal tetapi ia memerlukan rundingan serta perbincangan di antara kerajaan negeri.

“Sayangnya Kuala Lumpur dan Selangor kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB). Mustahil untuk mengadakan mesyuarat jabatan. Kita terpaksa menunggu,” katanya.

Sempadan Malaysia ditutup sejak Mac selepas gelombang pertama pandemik Covid-19 melarang kemasukan pelancong antarabangsa ke negara ini.

Pelancongan tempatan meningkat sedikit pada Jun ketika penduduk tempatan mula melakukan perjalanan namun terhenti apabila gelombang ketiga Covid-19 mulai melanda pada akhir September. – 31 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen