SEBUAH organisasi bukan kerajaan tidak ketinggalan menyumbang pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan hospital di Sabah, dalam usaha menangani peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.
Selain membantu petugas barisan hadapan membendung penularan Covid-19, usaha tersebut pada masa yang sama memberi peluang kepada golongan yang kurang bernasib baik berbakti kepada negara, kata Natalie Tan Sook Ling dari Dignity for Children Foundation.
PPE berkenaan dijahit oleh cabang NGO terbabit, Sew X, yang ahlinya terdiri daripada golongan B40 dan warga asing.
“Sew X kini menjahit PPE juga walaupun sebenarnya tidak menang tangan, kerana kami percaya apa yang penting ialah sama-sama berganding bahu untuk berbakti kepada masyarakat.
“Kebanyakan tukang jahit kami adalah dari masyarakat yang kurang bernasib baik, yang mendapat mendapat banyak bantuan dari orang lain.
“Jadi kami berpendapat ini salah satu cara untuk kami juga memberi semula kepada masyarakat,” kata Tan, yang mengetuai Dignity.
Sew X menyumbang PPE kepada Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, dan penghantaran pertama akan tiba esok.
“Hospital berkenaan juga menjadi pusat PPE dikumpulkan sebelum dihantar ke seluruh negeri.
“Semalam, pihak hospital beritahu kami permintaan untuk PPE masih tinggi.
“Kami masih terus mengumpul dana untuk menjahit lebih dari sasaran sekarang iaitu 2,000 set,” kata Tan.
Setiap set PPE merangkumi dua sarung but, sehelai baju dan penutup kepala, bernilai RM25 termasuk kos bahan dan logistik.
Sew X mula terlibat dalam projek menjahit PPE sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan pada Mac. Ia bekerjasama dengan sebuah lagi NGO, Biji-biji Initiatives, untuk menghasilkan 3,700 set PPE dijahit untuk dihantar ke 14 hospital.
Sehingga kini Dignity menerima sumbangan untuk 1,270 set PPE.
Maklumat mengenai cara-cara untuk menderma boleh didapati di laman web Dignity, dan sumbangan dikecualikan dari cukai.
Sokongan untuk Sabah
Sabah menyumbang lebih daripada 90% kes harian Covid-19 sejak gelombang ketiga wabak itu melanda negara.
Sehingga kini sebanyak 13,000 kes Covid-19 dicatatkan di negeri itu, daripada lebih 28,000 jumlah keseluruhan kes jangkitan yang direkodkan di seluruh negara.
Selain itu, syarikat insurans juga tidak ketinggalan antara yang menyumbang untuk Sabah.
MSIG Malaysia menyumbang RM20,000, kata ketua pegawai eksekutifnya Chua Seck Guan.
“Kesejahteraan rakyat Malaysia menjadi keutamaan kami ketika susah dan senang. Kami berharap sumbangan ini dapat membantu Sabah.
“Kami juga percaya semua rakyat Malaysia boleh memainkan peranan dalam mengurangkan beban sistem kesihatan kita dengan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam membendung jangkitan,” kata Chua.
Semasa krisis Covid-19 di negara ini bermula, MSIG menyumbang RM170,000 kepada KKM untuk membeli PPE.
Dengan kerjasama Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA), sejumlah RM8 juta disumbangkan kepada Tabung Saringan COVID-19 (CTF).
CTF ditubuhkan oleh industri insurans dan takaful bagi menyokong usaha KKM mengendalikan lebih banyak ujian saringan Covid-19. – 29 Oktober, 2020.
Komen