Belanjawan 2021: Muhyiddin perlu elak penutupan kerajaan


BELANJAWAN 2021 akan menjadi “ibu segala belanjawan” buat rakyat kerana ia bakal menentukan hala tuju negara ketika berhadapan dengan tiga krisis iaitu kesihatan, politik dan ekonomi yang amat membimbangkan.

Ia merupakan belanjawan yang amat “luar biasa” dan penting. Pertama, belanjawan ini penting bagi membantu rakyat yang sedang berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19, terutama sekali dalam aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan bantuan sara hidup.

Kedua, Belanjawan 2021 juga begitu penting buat perdana menteri untuk terus survive di Parlimen bagi memikul mandat meneruskan tugas mentadbir negara.

Berdasarkan amalan sistem demokrasi berparlimen, undian untuk menolak belanjawan kerajaan mempunyai risiko yang sama seperti undi tidak percaya kepada perdana menteri. Jika perkara ini berlaku, perdana menteri perlu meletakkan jawatan atau ia akan menyebabkan kerajaan memanggil pilihan raya mengejut.

Terdapat risiko paling kritikal apabila Parlimen menolak Belanjawan 2021, iaitu kemungkinan negara berhadapan dengan tempoh penutupan kerajaan (government shutdown) yang akan memberi kesan buruk kepada negara.

Persoalannya, sejauh mana kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan melakukan segala yang mampu untuk mengelak situasi ini sekiranya Belanjawan 2021 tidak dapat diluluskan?

Penutupan kerajaan dan risikonya

Secara asasnya, penutupan kerajaan berlaku apabila belanjawan atau undang-undang kewangan gagal diluluskan oleh Parlimen. Antara kesan penutupan kerajaan adalah pertama, pentadbiran awam tidak dapat berfungsi kerana tidak mempunyai dana yang mencukupi bagi menampung kos operasi. Kedua, inisiatif rakyat tidak akan dapat dilaksanakan dan ketiga, ia akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Jika tempoh penutupan kerajaan lebih lama, maka impaknya kepada pentadbiran negara dan ekonomi akan terjejas lebih teruk. Contohnya, pada tahun 2013, penutupan kerajaan persekutuan Amerika Syarikat selama 16 hari telah menyebabkan kerugian sebanyak AS$24 bilion dan hampir 1.3 juta pekerja kerajaan bekerja tanpa gaji.

Oleh sebab itu, amat wajar sekali kerajaan PN memastikan agar negara tidak berhadapan dengan fasa penutupan kerajaan menjelang Belanjawan 2021.

Sekiranya kerajaan telah mencatatkan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bayangkan sahaja bagaimana kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara sekiranya berlaku penutupan kerajaan, lebih-lebih lagi ketika penularan Covid-19 kian meningkat.

Bagaimanakah kerajaan akan membayar gaji penjawat awam Malaysia yang mempunyai 1.6 juta orang di seluruh negara?

Untuk rekod, kerajaan persekutuan tidak pernah berada dalam situasi government shutdown. Belanjawan kerajaan atau dikenali sebagai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan tidak pernah ditolak oleh Parlimen.

Namun, terdapat beberapa cubaan daripada ahli Parlimen untuk menolak belanjawan kerajaan sebagai satu protes atau kritikan terhadap kerajaan.

Pada malam 20 November 2017, kerajaan Barisan Nasional hampir ditewaskan dalam undian Belanjawan 2018 bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang diterajui oleh Hamzah Zainuddin.

Undi belah bahagi dijalankan dengan 52 orang ahli Parlimen kerajaan menyokong manakala 51 orang ahli Parlimen membantah dan dua orang berkecuali dalam proses undian ini.

Pada 26 November 2019, Belanjawan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kerajaan Pakatan Harapan hampir ditewaskan oleh pembangkang dengan undi belah bahagi dengan 32 orang ahli Parlimen menyokong dan 28 orang yang menolak belanjawan KPWKM.

Pembangkang mengambil langkah ini untuk memberi peringatan kepada kerajaan PH untuk lebih bertanggungjawab kepada Parlimen.

Kerajaan PN juga pernah melalui saat yang getir semasa undian RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Kerajaan) 2020 apabila 111 orang ahli Parlimen PN menyokong dan 106 ahli Parlimen PH dan Bebas menolak RUU ini.

Pihak pembangkang menolak RUU ini kerana tidak bersetuju dengan saiz Jemaah Menteri PN yang begitu besar dan memerlukan perbelanjaan yang sangat tinggi.

Perdana menteri perlu melakukan apa sahaja

Muhyiddin Yassin perlu melakukan perkara luar biasa pada belanjawan kali ini.

Beliau perlu memastikan dirinya mempunyai sokongan majoriti di Parlimen dan memastikan Belanjawan 2021 diluluskan agar Malaysia tidak memasuki fasa yang paling sukar, iaitu government shutdown.

Jika perdana menteri mahu melihat Belanjawan 2021 dapat diluluskan dengan lancar, beliau perlu memastikan lebih daripada 109 ahli Parlimen PN hadir ketika perbahasan dan hari mengundi Belanjawan 2021.

Tetapi, perkara ini mustahil dilakukan, lebih-lebih lagi apabila ahli Parlimen kerajaan PN sedang berpecah.

Meskipun ahli Parlimen Umno membuat keputusan kembali menyokong PN pada 26 Oktober 2020, namun ia tiada sebarang jaminan bahawa sokongan terhadap perdana menteri akan kekal.

Dalam tempoh perbahasan belanjawan yang melangkaui 10 hari, bermacam-macam langkah politik boleh berlaku sekiranya Muhyiddin tidak menjaga sokongan dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan.

Sekiranya ketidakstbalian politik gagal diuruskan perdana menteri, ia memungkinakan Muhyidin menjadi perdana menteri pertama yang tewas dalam undian belanjawan negara dan buat pertama kali negara berada dalam situasi penutupan kerajaan.

Bagi mengatasi perkara mustahil ini, Muhyiddin dan kerajaan PN perlu berjiwa besar dan menerima cadangan bekerjasama dengan pembangkang demi meluluskan Belanjawan 2021.

Konsensus bersama antara PN dan ahli Parlimen pembangkang bukan lagi pilihan buat Muhyiddin, malah ia satu perkara yang wajib dilakukan demi kepentingan rakyat.

Dalam saat ini, Belanjawan 2021 sepatutnya menjadi agenda utama dalam membangun dan menyatukan negara yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19.

Rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh agar pelaksanaan dasar dan inisiatif berjalan lancar, bukan sebuah kerajaan yang tidak stabil. – 28 Oktober, 2020.

*Fakhrurrazi Rashid adalah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen