Agong boleh nasihat, tetapi wakil rakyat akan putuskan Belanjawan 2021


Kamles Kumar

Sidang Parlimen November ini akan jadi tumpuan kerana pembentangan Belanjawan 2021 ketika negara sedang berdepan wabak Covid-19 dan konflik kepimpinan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2020.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh menasihati ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 tetapi keputusan akhir terletak di tangan wakil rakyat, kata penganalisis dan peguam perlembagaan.

Mereka percaya wakil rakyat terutama daripada blok pembangkang perlu meneliti belanjawan itu kerana mereka berperanan dalam semak imbang perbelanjaan duit pembayar cukai yang dibentangkan kerajaan semasa.

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, sudah menjadi tanggungjawab Agong untuk menasihati politikus tentang apa yang dirasakan baginda terbaik untuk negara bergerak ke hadapan, tetapi ia bukanlah satu arahan.

“Agong menggunakan hak baginda mengikut tradisi sistem Parlimen Westminster yang negara ini ikuti, untuk menasihati, untuk menggalakkan dan untuk memberi amaran. Terpulang kepada ahli Parlimen untuk mempertimbangkan sejauh mana mereka akan mengikut nasihat itu,” kata Oh kepada The Malaysian Insight.

Sultan Abdullah dalam kenyataan semalam menasihati semua politikus supaya menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November depan.

Sokongan itu diperlukan kerana wujud keperluan mendesak untuk bekalan perubatan dan dana tambahan bagi petugas kesihatan yang sedang memerangi wabak Covid-19.

Walaupun begitu, ahli Dewan Rakyat masih berkuasa untuk mengundi menolak belanjawan itu sekiranya merasakan ia tidak menggambarkan keperluan rakyat ketika wabak masih melanda negara.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdepan cabaran besar kemungkinan Belanjawan 2021 ditolak dan membuktikan hilangnya keyakinan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Muhyiddin dan Kabinetnya minggu lepas memohon darurat diisytiharkan bagi melawan pandemik Covid-19 tetapi cadangan itu ditolak Agong yang percaya dengan kemampuan kerajaan mengekang penularan wabak berdasarkan tindakan yang sudah diambil.

Peguam perlembagaan Lim Wei Jiet berkata sekiranya wakil rakyat merasakan belanjawan itu tidak mampu memenuhi keperluan perwakilannya, beliau boleh mengundi untuk menolak kerana peranan utama wakil rakyat adalah berkhidmat kepada kawasannya.

“Di akhirnya, seorang ahli Parlimen bertanggungjawab dan menjawab kepada perwakilannya dan tugasnya untuk menjunjung Perlembagaan. Ahli Parlimen patut mengundi di Parlimen berdasarkan pertimbangan ini,” kata Lim.

Pengasas bersama Parti Muda itu menambah jika ada perbelanjaan berlebihan dibuat kerajaan, ia juga perlu dibantah pembangkang.

“Jika kerajaan membentangkan belanjawan yang ada banyak kekurangan atau memperuntukkan jumlah wang yang terlalu banyak kepada kementerian sama, saya fikir pembangkang ada hak untuk menyuarakan kebimbangan mereka dan mengundi menolak belanjawan itu,” kata Lim.

Dr Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia pula berkata pembangkang patut mencari cara menambah baik belanjawan sekiranya merasakan ia tidak mencukupi.

“Agong juga sebut proses semak dan imbang perlu ada bagi menjunjung demokrasi kita.

“Ini bermakna pembangkang patut memainkan peranan mereka untuk membahaskan dan menambah baik belanjawan. Ia bukan hanya isu meluluskan belanjawan,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 29 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen