PKPB Labuan dilanjutkan 2 minggu lagi


Alfian Z.M. Tahir

PKPB di Labuan dilanjutkan dua minggu lagi kepada 13 November. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2020.

PUTRAJAYA melanjutkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Labuan dua minggu lagi bermula 31 Oktober hingga 13 November kerana kes Covid-19 di sana terus meningkat.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob memberitahu media yang Kementerian Kesihatan masih menjalankan saringan bersasar di kawasan itu.

“Sebelum ini, Labuan di bawah PKPB bermula 17 Oktober hingga 30 Oktober. Sehingga kini, masih ada kes positif di kawasan itu dan saringan bersasar masih dijalankan.

“Disebabkan itu kerajaan memutuskan untuk melanjutkan PKPB di Labuan selama dua minggu lagi,” katanya.

Pada 15 Oktober lepas, Ismail Sabri mengumumkan PKPD dikuatkuasa di Labuan selama dua minggu selepas berlaku lonjakan kes Covid-19 di sana.

Labuan bersama-sama Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini diletakkan di bawah PKPB.

Bagi pergerakan menggunakan pengangkutan udara melalui Lapangan Terbang Labuan, Ismail Sabri berkata individu yang mahu menggunakannya perlu mendapatkan kebenaran polis dahulu.

Mengenai kawalan pergerakan air pula, katanya, perkhidmatan seperti feri RoRo, feri ekspres dan bot laju hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 6 petang, dengan kapasiti terhad berdasarkan penjarakan sosial antara penumpang.

Menyentuh operasi industri perkapalan pula, Ismail Sabri berkata, pergerakan keluar masuk anak kapal serta industri minyak dan gas dibenarkan dengan pematuhan kepada peraturan dan SOP yang dikuatkuasa. – 28 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen