Tindakan undang-undang diambil jika fitnah saya langgar kuarantin, kata MB Selangor


Elill Easwaran

Menteri Besar Amirudin Shari memberi amaran akan memulakan tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang memfitnahnya kerana melanggar perintah kuarantin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Oktober, 2020.

MENTERI Besar Amirudin Shari memberi amaran bahawa beliau akan memulakan tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang memfitnahnya kerana melanggar perintah kuarantin kendiri bagi membendung penyebaran Covid-19.

Menurutnya beliau akan menjelaskan alasannya kepada pihak berkuasa mengapa beliau berada di luar ketika sedang menjalani kuarantin kendiri.

“Saya bersedia untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap mereka yang membuat dakwaan terhadap saya kerana ini hanya menyusahkan pihak polis,” katanya di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata perkara ini juga menimbulkan banyak spekulasi yang tidak perlu terhadapnya.

Pada 24 Oktober polis berkata mereka akan memanggil Amirudin ke Bukit Aman untuk memberikan kenyataan mengenai dakwaan beliau melanggar perintah kuarantin kendiri.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata siasatan sedang dilakukan berikutan kenyataan di akaun Twitter Amirudin yang meminta maaf atas perkara itu dengan mengatakan bahawa beliau melakukannya untuk memeriksa gangguan air di Selangor.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 dan Seksyen 22 (B) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi arahan sah yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai yang diberi kuasa.

Pada 4 Oktober Amirudin menerusi akaun Twitternya beliau meminta maaf kerana terpaksa melanggar perintah kuarantin untuk menyelesaikan masalah pencemaran sungai yang menyebabkan dua loji rawatan air (LRA) di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi berhenti beroperasi.

Dari catatan sama Amirudin berkata beliau mengambil langkah-langkah yang diperlukan termasuk memakai topeng muka dan ujian saringan yang dilakukannya sebanyak dua kali juga mendapati beliau negatif Covid-19.

Beliau mengunjungi LRA Sungai Semenyih untuk memeriksa keadaan pencemaran bersama Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.

Amirudin diarahkan menjalani kuarantin di rumah oleh Kementerian Kesihatan selepas pulang dari menghadiri Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah bulan lalu.  – 28 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen