Polis siasat kes padam tulisan Cina di papan tanda nama jalan


Zaim Ibrahim

DUA aktivis disiasat kerana disyaki memadam tulisan Cina di satu papan tanda nama jalan di Pulau Pinang, menurut peguam yang mewakili kedua-dua lelaki terbabit.

Shamser Singh Thind memberitahu The Malaysian Insight, kedua-duanya ditahan selepas melakukan perbuatan tersebut pada tanda nama jalan Gat Lebuh Armenian pada 25 Oktober lalu.

Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada kedua-dua lelaki yang kini dilepaskan atas jaminan polis itu akan didakwa, kata Shamser.

“Mereka dilepaskan atas jaminan polis selepas keterangan direkodkan. Terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk memfailkan pendakwaan. Setakat ini, kami belum terima berita.

“Polis juga tidak menahan semalaman atau memohon tempoh reman,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, polis merakam keterangan kedua-dua individu itu pada hari berikutnya dari 9 malam hingga 1.30 pagi.

The Malaysian Insight difahamkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 427 dan 505 (c) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kerugian dan membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuatkan kandungan jelik dalam talian.

Ia berkaitan satu rakaman video tular di media sosial yang menunjukkan aksi kedua-duanya lelaki tersebut memadam tulisan Cina dengan menyembur cat di papan tanda nama jalan tersebut.

Salah seorang daripada lelaki tersebut, Azmi Jaafar memberitahu The Malaysian Insight mereka berbuat demikian untuk memadamkan tulisan Cina berkenaan.

Dakwanya tindakan itu juga bertujuan untuk mempertahankan “hak Melayu” dan tidak berniat mencemarkan papan tanda tersebut.

“Kami beri alasan kepada polis, tindakan kami hanyalah memadam tulisan Cina di papan tanda,” tambahnya.

“Walaupun tindakan itu nampak jahat tetapi nak bagi kegerunan kepada orang bukan Islam bahawa ada lagi orang Melayu yang sedia mempertahankan hak Melayu,” katanya.

Kes serupa muncul dua bulan lalu di Sarawak apabila sayap pemuda DAP negeri itu menampal tulisan Cina pada tiga papan tanda jalan di Kuching.

Mereka memberi alasan nama jalan itu perlu diterjemahkan untuk keperluan pelancong dari China.

Tindakan yang diketuai bekas Ahli Parlimen Stampin Julian Tan itu ditularkan di media sosial dan mengundang kritikan sebahagian besar masyarakat.

Tan juga berkeras untuk tidak menanggalkan pelekat berkenan walau diarahkan pihak berkuasa tempatan Kuching.

Tindakan berkenaan menyebabkan Pemuda DAP Kuching menerima kecaman dan kritikan dari sebilangan pemimpin muda Melayu dalam parti berkenaan. – 28 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen