DRAMA hujung minggu berhubung percubaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat sudah berakhir, tetapi saga kelangsungan pemerintahannya berterusan.
Selepas berunding dengan Raja-raja Melayu pada Ahad, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata kerajaan menangani wabak Covid-19 dengan baik dan tidak melihat keperluan darurat di mana-mana bahagian negara ini.
Ini pertama kali raja berperlembagaan menolak nasihat perdana menteri.
Dan walaupun Agong menitahkan ahli politik berhenti berpolitiking dan fokus untuk membangunkan kembali ekonomi dan melandaikan lengkungan Covid-19, masih banyak yang tidak dapat diselesaikan ketika Muhyiddin menangani masalah penolakan dan kehilangan kredibiliti.
Dengan hanya majoriti tipis daripada dua ahli Parlimen, bagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan bertahan bergantung gencatan politik Umno, yang dikenali sebagai “perdamaian nasional” dengan semua parti PN, dan juga pembangkang.
Berikut adalah gambaran mengenai siapa yang menang dan kalah dalam perkembangan terkini setakat ini:
YANG MENANG
Monarki
Hingga petang Ahad, rakyat Malaysia tidak pasti sama ada mereka akan diletakkan di bawah undang-undang darurat.
Tetapi Agong menyelamatkan keadaan apabila bertitah tiada keperluan Malaysia menggunakan Ordinan Darurat untuk membendung wabak Covid-19.
Seperti dijelaskan oleh Agong, Malaysia berjaya dan berkesan mengekang wabak tersebut dan tidak melihat sebab mengapa keadaan darurat diperlukan di mana-mana sahaja di Malaysia.
Agong juga bertitah agar berhenti berpolitik dan menggesa pendekatan bersatu dan bipartisan untuk menyelesaikan masalah, menggambarkan pandangan jauh terhadap ketidakpastian politik yang berlaku terhadap nasib Muhyiddin dan kerajaannya.
Kenyataan Agong mendapat pujian daripada banyak lapisan masyarakat kerana seiring dengan kebimbangan rakyat, kerana tidak dikawal oleh politik dan mempertahankan demokrasi berparlimen.
“Daulat Tuanku!” menjadi popular di Twitter ketika rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih kepada monarki, yang pasti salah satu pemenang besar dalam episod ini.
Rakyat Malaysia
Dengan pengecualian nasi lemak sebagai hidangan negara kita, kebanyakan rakyat Malaysia berpecah mengikut etnik, agama, bahasa, fahaman politik, pasukan bola sepak, negeri dan banyak lagi isu lain.
Tetapi percubaan mengisytiharkan darurat menyatukan kebanyakan rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik, menentang apa yang dilihat oleh banyak pihak sebagai usaha terdesak perdana menteri untuk mengelakkan sidang Parlimen dan terus berkuasa.
Sama ada mereka menyokong Umno, Pakatan Harapan (PH) atau daripada masyarakat sivil, masing-masing meminta ahli Parlimen, pemimpin dan Agong untuk menolak cadangan darurat Muhyiddin di banyak platform media sosial.
Keputusan pada Ahad menunjukkan suara yang bersatu dapat menghasilkan keajaiban, walaupun dengan komplot untuk mendapatkan sokongan mengisytiharkan darurat.
Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid mengalami minggu yang sukar selepas surat yang kononnya menunjukkan tanda tangannya menyokong Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan berikutnya dibocorkan kepada media.
Walaupun surat itu kemudiannya dinafikan, ia tetap membuatkan presiden Umno dikritik oleh ahli yang mempersoalkan kesetiaannya kepada Umno.
Selepas dilihat sebagai seseorang yang telah mengkhianati partinya, Zahid terpaksa mengakui kesilapan pada Khamis dengan menyatakan gencatan politik terhadap Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN).
Tetapi sebelum gencatan sempat melepasi tempoh 48 jam, Muhyiddin mengejutkan semua orang dengan cadangan daruratnya. Nampaknya Umno tidak mengetahui mengenai rancangan tersebut.
Sebagai reaksi terhadap keputusan Agong menentang pengisytiharan darurat, Zahid berkata: “Episod ini dengan jelas mengajar kita yang pelaksanaan langkah besar yang terpaksa diambil oleh kerajaan memerlukan proses musyawarah dan konsensus semua pihak.”
Pembangkang
Sama seperti orang lain, pembangkang tidak mahu pilihan raya umum baharu diadakan sekarang, ketika wabak sedang mengganas. Tiada siapa mahukan mengulangi apa yang berlaku di Sabah.
Bagi memastikan kerajaan dapat terus berkuasa dalam tempoh secukupnya untuk menangani Covid-19, pembangkang mula yakin dan mengadakan perbincangan dengan PN.
Tertakluk kepada syarat, pembangkang bersedia menyokong Belanjawan 2021 Muhyiddin, sebagai pertukaran bagi peruntukan kawasan dan jawatankuasa pemilih Parlimen yang adil.
Bagaimanapun, ia terpaksa dibatalkan selepas PN memilih untuk mengisytiharkan darurat.
Selepas penolakan Agong pada Ahad, pembangkang sekarang berada dalam kedudukan lebih baik untuk menuntut lebih banyak.
Malah, ada yang meminta beberapa nama disingkirkan iaitu Mohamed Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin.
YANG KALAH
Muhyiddin Yasin
Agong hampir tidak pernah secara terbuka tidak bersetuju dengan perdana menteri hari ini. Sebahagian besarnya, kerana istana yang berperanan sebagai raja berperlembagaan tidak boleh diseret ke dalam kancah politik.
Menggunakan tafsiran Perlembagaan Persekutuan, Agong akan menerima nasihat perdana menteri, pasukan Muhyiddin mengusulkan Malaysia mengisytiharkan darurat, sehingga dapat menghentikan percubaan Anwar untuk mengambil alih kerajaan, atau ahli Parlimen yang memutuskan untuk memilih menentang Belanjawan PN bulan depan.
Tetapi percubaan berani itu dengan jelas memakan diri dan gesaan Muhyiddin mengundurkan diri, atau #MuhyiddinOut menjadi popular di Twitter.
Muhyiddin seharusnya berunding dengan dengan pembangkang atau sekurang-kurangnya, mempercayai kesemua 113 ahli Parlimen untuk bersamanya semasa undian belanjawan bulan depan.
Tindakan ini menyebabkan beliau terpaksa bergantung nasib kepada Umno dan pembangkang. Paling teruk, sentimen masyarakat kini beralih menentang “Abah”.
Umno menawarkan perdamaian dengan syarat masih belum ditentukan, dan bergantung kepada seberapa banyak yang Muhyiddin sanggup lakukan untuk terus berkuasa.
Perikatan Nasional
Selain Umno, parti komponen lain - Bersatu, PAS, GPS, STAR, MCA, MIC - senyap ketika rakyat menentang pengisytiharan darurat.
Dengan percubaan yang gagal, para pengundi mesti bertanya apakah kesemua parti ini dan anggota Parlimennya seiring dengan apa yang rakyat mahukan, atau bersekutu dengan Bersatu demi kuasa. – 28 Oktober, 2020.
Komen