PULUHAN ribu rakyat Indonesia mengadakan protes hari ini berikutan keputusan Amerika Syaikat untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, yang merupakan tanda sokongan terbaharu terhadap Palestin di negara yang mempunyai populasi umat Islam terbesar di dunia.
Perhimpunan itu dianjurkan oleh pihak berkuasa Islam Indonesia, Majlis Ulama Indonesia dan disokong oleh kerajaan dan beberapa organisasi Islam lain.
Polis berkata, 80,000 penunjuk perasaan berhimpun di Monumen Nasional, sebuah tugu yang terletak di tengah Jakarta, sambil mengibarkan bendera Palestin dan sepanduk yang tertulis “Bebaskan Palestin”.
“Ini adalah solidariti saya sebagai orang Islam kepada saudara Islam di Palestin. Masjid Al-Aqsa, masjid bersejarah bagi umat Islam, ada di sana (Baitulmaqdis),” kata Hermawati yang berasal dari Bogor.
Kebanyakan peserta perhimpunan berpakaian serba putih, mereka menggesa AS untuk mengubah keputusan mereka.
Menteri hal ehwal agama Indonesia dan gabenor Jakarta antara yang turut berada perhimpunan berkenaan beberapa meter dari kedutaan AS, yang dikelilingi kawat berduri.
“Bukankah tugas kerajaan untuk memberi aspirasi kepada majoriti rakyat Indonesia. Dan kerajaan telah cuba sedaya upaya bagi Palestin mencapai hak dan kemerdekaan,” kata Menteri Hal Ehwal Agama Lukman Hakim Saifuddin kepada peserta perhimpunan itu.
Indonesia turut mengecam keputusan Presiden Donald Trump, dengan Presiden Joko Widodo menyertai sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul.
Pemimpin OIC turut menggesa kuasa dunia untuk mengiktiraf timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin dan mengisytiharkan keputusan Trump “tidak sah dan terbatal dari segi undang-undang”. – AFP, 17 Disember, 2017.
Komen