…dan rakyat dipersalahkan!


KENYATAAN Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang menyalahkan rakyat sebagai punca kepada ketidakstabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa kini membuatkan saya berfikir betapa hebatnya ahli Parlimen Padang Besar ini.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang dikecam rakyat dengan pelbagai tuduhan tidak pernah menyalahkan rakyat meskipun berada dalam kemelut politik sekarang.

Begitu juga dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang difitnah, dikritik dan dituduh dengan pelbagai nama oleh rakyat (yang tidak menyokongnya), tidak pernah memburukkan rakyat. 

Wakil rakyat Umno-Barisan Nasional (BN) itu mendakwa keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyebabkan kerajaan tidak mempunyai jumlah majoriti kerusi Parlimen.

Jawapan tersebut diberikan selepas ditanya pemberita tentang titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu agar ahli politik berhenti bermain politik.

“Itu saranan yang patut kita ikut tetapi keadaan sekarang ini 50-50. Jadi, pelabur tidak akan datang. Ekonomi negara kurang baik.

“Dan yang buatkan keadaan begini ialah rakyat. Rakyat yang undi 50-50 ini, yang undi dahulu ini (PRU14) kerana rakyat kena tipu,” katanya.

Dalam rakyat dipersalahkan, perkataan rakyat sentiasa digunakan dalam wacana politik. Ayat seperti suara rakyat, demi rakyat, atas nama rakyat, kuasa di tangan rakyat dan yang popular, mandat rakyat.

Oleh itu pelbagai bentuk naratif, cerita, kisah, wawasan, projek dan program telah diwacanakan dalam variasi wahana komunikasi politik yang disalurkan dengan mengatas-namakan rakyat sehingga gegak gempita politik sekarang pun disalahkan rakyat juga. 

Agaknya sekiranya rakyat mengundi BN dalam PRU14 barulah rakyat dikatakan bijak, betul dan tidak dipersalahkan. 

Dapatlah dikatakan bahawa rakyat adalah figura utama dalam retorik politik di negara ini.

Dalam cadangan darurat oleh kerajaan PN, rakyat membantah melalui tinjauan pendapat di media sosial.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan tersebut adalah mengambil kira bantahan rakyat juga.

Meskipun nama “rakyat” disebut dalam setiap pilihan raya sebagai figura penting, ini tidak bermakna mereka memainkan peranan utama dalam perkiraan sang politikus. 

Bahkan perkataan “rakyat” telah dieksploitasi dalam pelbagai wacana dan retorik politik contohnya dalam Pilihan Raya Negeri Sabah di mana yang diutamakan oleh pemimpin politik ialah kekuasaan dan kemenangan.

Mereka telah mengkerdilkan rakyat dengan tidak mematuhi SOP semasa pandemik Covid-19 sedang bermaharajalela di Sabah.

Apakah rakyat dipersalahkan dengan merebaknya wabak tersebut ke Semenanjung sehingga cadangan darurat oleh PN? 

Demokrasi sering diberikan tafsiran sebagai “kekuasaan di tangan rakyat”, namun dalam realitinya tidak direalisasikan kerana tingkah kalangan ahli Parlimen yang berkhianat atas kepercayaan rakyat yang mengundi mereka.

Adakah rakyat telah ditipu dan dikhianati?

Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam langkah Sheraton dan kemunculan kerajaan PN yang tidak mendapat mandat rakyat itu, adakah rakyat dipersalahkan juga? 

PN bukanlah sebuah kerajaan demokrasi tetapi kerajaan yang wujud daripada percaturan ahli Parlimen dan ahli politik yang ingin berkuasa.

Rakyat yang menyokong PH dalam pilihan raya hasil undian rakyat kini menjadi pembangkang manakala yang kalah dalam pilihan raya menjadi kerajaan.

Ini semua gara-gara ahli Parlimen berpaling tadah dan membentuk blok masing-masing, adakah ini kesalahan rakyat. 

Ini kerana rakyat – yang jumlahnya besar atau massa  - tidak mungkin berkuasa atas nama rakyat.

Sedihnya ia nama yang tidak bernama, nama tanpa realiti kerana pemilik kekuasaan (yang diundi dan dipilih rakyat) adalah individu atau kelompok kecil lebih dikenali sebagai oligarki politik. 

Dalam hal demokrrasi dikuasai oleh elit kecil atau oligarki, bukannya kekuasaan itu berada di tangan rakyat. Ia tampak berada di tangan rakyat apabila tibanya pilihan raya atau ingin mendapatkan sokongan rakyat dalam sesuatu isu. 

Rakyat tidak lebih daripada nama tanpa entiti. Dalam hal ini, perwakilan dari rakyat kepada seseorang politikus menimbulkan kepelikan dalam sistem demokrasi kerana wujudnya penjarakan sosial (seperti penjarakan sosial Covid-19) antara rakyat dan politikus yang mewakili mereka. 

Rakyat dikerdilkan ke dalam tirani angka, sebagai homo consumericus, pengguna pasif, yang diperlukan ahli politik untuk mendapat sokongan dalam konteks tertentu. 

Kecenderungan fetisisme angka sebagai ukuran tunggal-mutlak dalam pertarungan politik akan meminggirkan rakyat daripada arus politk perdana. Dan rakyat dipersalahkan! – 27 Oktober, 2020.

* Ismail Hashim Yahaya, pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen