GPS akur nasihat Agong


Ketua Whip GPS, Fadillah Yusof berkata GPS turut menggesa semua ahli politik berhenti berpolitiking dan fokus menangani Covid-19 serta memulihkan ekonomi yang terjejas teruk akibat wabak tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2020.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) akan akur dengan gesaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menamatkan semua politiking yang akan menggugat kestabilan negara.

Dalam satu kenyataan, ketua whip kerajaan Sarawak, Menteri Kanan, Fadillah Yusof berkata gesaan itu seiring dengan pendirian GPS yang semua ahli politik berhenti berpolitiking dan fokus menangani Covid-19 serta memulihkan ekonomi yang terjejas teruk akibat wabak tersebut.

“GPS berharap semua pihak akur akan titah dan nasihat Kebawah Duli Yang Maha MUlia Tuanku yang sentiasa mengutamakan rakyat dan negara,” kata Fadillah.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu juga berkata semua ahli politik harus mengambil maklum yang Agong mengakui kejayaan kerajaan dalam menangani pandemik tersebut dan percaya terhadap kemampuan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membendungnya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas kegagalan Putrajaya mendapatkan persetujuan Agong untuk mengenakan darurat bagi memerangi pandemik Covid-19.

“Rakyat seharusnya menjadi keutamaan semua ahli politik dalam apa jua keadaan, terutama dalam berdepan penularan Covid-19 ketika ini.”

Fadillah juga berlata GPS berkongsi keprihatinan Agong mengenai pentingnya Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan dalam konteks menangani Covid-19. – 27 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen