Keputusan Agong kemenangan buat Umno, kata pemimpin parti


Diyana Ibrahim Mohd Farhan Darwis

KEPUTUSAN Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan kerajaan Muhyiddin Yassin untuk mengisytihar darurat jelas satu kemenangan buat Umno, kata pemimpin parti itu.

Seorang anggota Majlis Tertinggi (MT) Mohd Razlan Rafii berkata, ia menunjukkan gencatan politik yang digerakkan Presiden Ahmad Zahid Hamidi sejak minggu lalu berkesan.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, ia berjaya meredakan suhu politik demi keamanan dan kesejahteraan negara yang kini bergelut dengan gelombang ketiga wabak Covid-19.

“Sekiranya keputusan Majlis Raja-Raja dibuat untuk kebaikan rakyat itu sebenarnya kebaikan kepada rakyat. (Kita) kira rakyat menang, Umno menang.

“Kita sudah buat pendirian sebelum kerajaan buat mesyuarat khas kita sudah umum gencatan politik. Kita tak mahu ambil tahu lagi politik ini semua,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Muhyiddin dilaporkan sedang berunding dengan pemimpin parti kerajaan ekoran keputusan baginda yang tidak memihak kepada Perikatan Nasional.

Pertemuan di pejabat perdana menteri itu lanjutan daripada pertemuan bersama anggota Kabinet di kediaman ahli Parlimen Pagoh itu di Bukit Damansara pada malam tadi.

Pada petangnya, ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bertemu untuk membincangkan kedudukan Muhyiddin dan pada malam ini Majlis Tertinggi Umno akan meneliti dan memutuskannya.

Ia berlangsung di sebalik desas-desus bahawa Muhyiddin mungkin akan meletak jawatan ekoran keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan peristiharan darurat.

Mengulas lanjut soal kemenangan Umno itu, Razlan berkata gencatan politik diusahakan parti itu untuk mengembalikan keamanan kerana suasana politik semasa tidak memihak kepada rakyat.

Ia memandangkan segala pilihan lain untuk menyelesaikan kemelut politik hanya akan merugikan rakyat kerana menjejaskan usaha melawan pandemik, kata pemimpin Umno bahagian Seputeh itu

“Ke kanan rakyat rugi, ke kiri pun rakyat rugi, jadi kita kena cari jalan mana yang kurang rugi. Langkah terakhir kita kena pentingkan rakyat daripada orang politik.

“Kita sudah tak boleh bergantung kepada orang politik. Suhu sekarang memang rakyat marah kepada orang politik. Kita tak mahu cerita politik, kita nak cerita kebaikan kepada rakyat,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong semalam tidak memperkenan permohonan perdana menteri untuk mengisytiharkan darurat kerana melihat kerajaan mampu menangani pandemik Covid-19.

Pada masa sama, baginda tidak mahu ahli politik mengganggu kestabilan kerajaan dan juga mengingatkan kepentingan usul Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentang minggu depan.

Peruntukan itu amat penting untuk menangani Covid-19 terutama untuk memastikan kelancaran usaha petugas barisan hadapan, titah baginda.

Perkembangan itu dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada Muhyiddin ketika sokongan majoriti ke atas perdana menteri itu di Dewan Rakyat menjadi persoalan.

Namun menurut pemimpin Umno, parti politik lain juga harus mengadakan gencatan politik serta memberi jaminan untuk tidak mensabotaj usul Belanjawan 2021.

“Sepatutnya ketua parti hari ini datang ke hadapan buat pengumuman atau deklarasi, kita akan pentingkan rakyat dan takkan sabotaj bajet… seperti mana gencatan Umno,” kata Razlan.

Tegas Razlan, sebarang sabotaj ke atas pembentangan bajet itu akan dilihat sebagai pengkhianatan kepada rakyat kerana akan membuatkan kerajaan tidak dapat berfungsi.

Anggota MT Umno Mohd Razlan Rafii berkata parti politik lain juga harus mengadakan gencatan politik serta memberi jaminan untuk tidak mensabotaj usul Belanjawan 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2020.

Bekas presiden parti itu pula Najib Razak secara sinis melihat keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan perisytiharan darurat itu sebagai kekalahan Muhyiddin.

“Main bola bertahun lama. Mesti tahu kalau nak menang, kena jaring gol,” katanya di Facebook selepas kenyataan baginda dikeluarkan Istana Negara semalam.

Sewaktu gerakan mengatur usaha memohon perisytiharan darurat tersebut beberapa hari lalu, Najib sudahpun mengumumkan pendiriannya agar Muhyiddin meletak jawatan.

Najib menyokong pandangan orang kuatnya, Isham Jalil supaya baginda diberi kebebasan penuh untuk membuat keputusan tanpa sebarang kekangan mahupun paksaan.

Bekas pegawai khas Najib itu juga, yang juga ketua penerangan BN Selangor menggesa Muhyiddin mengambil pendekatan sama untuk cadangan menggantung Parlimen.

Isham juga percaya usul undi tidak percaya ke atas Muhyiddin tidak akan berjaya dimajukan di Dewan Rakyat kerana berpandu kepada kelaziman dan prosedur sedia ada di Dewan Rakyat.

Najib dalam satu kenyataan berasingan turut menyatakan keyakinan bahawa ahli Parlimen pembangkang tidak akan menolak usul bagi meluluskan Belanjawan 2021.

Pemimpin pembangkang bagaimanapun masih belum menyatakan kesediaan secara rasmi untuk mengadakan gencatan politik dan tidak mencabar kedudukan perdana menteri dan belanjawan.

Gabungan pilihan raya bebas dan adil Bersih 2.0 kini menggesa kesemua parti memeterai perjanjian rasmi untuk gencatan tersebut sebelum Parlimen bersidang semula 2 November. – 26 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen