SELEPAS darurat tidak dilaksanakan, pemimpin perniagaan berharap ahli politik akan akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong untuk hentikan pertikaian dan fokuskan kepada pemulihan ekonomi dan pandemik Covid-19.
Jika tidak, ketidakstabilan politik dengan pengumuman untuk tukar kerajaan akan terus memberi kesan kepada keyakinan pelabur di Malaysia, kata mereka.
“Dasar dan pengumuman sebegini telah merosakkan keyakinan pelabur asing terhadap kemampuan pemikiran pemimpin Malaysia,” kata Pengarah Eksekutif Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Edward Cheah.
Tambah Cheah, reputasi Malaysia sebagai lokasi yang terbaik pelaburan sudah dicemari dengan label “kleptokrasi” - yang merujuk kepada kes rasuah melibatkan beberapa pemimpin dalam kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
“Dan tiada kelebihan untuk mempunyai kleptokrat dan masih dalam kerajaan sekarang, dan kemungkinan dalam kerajaan seterusnya.”
Bagi memulihkan keyakinan pelabur, Cheah berkata Malaysia perlu mengubah persepsi, kepada sebuah kerajaan yang menunjukkan ia stabil dan mesra perniagaan.
“Walaupun insentif diberikan kepada para pelabur untuk melabur di negara ini seperti pengecualian cukai dan layanan istimewa, ini boleh diubah oleh kerajaan sebagaimana yang ditunjukkan menerusi pengumuman yang tidak menentu.”
Selepas perbincangan Raja-Raja Melayu semalam, Yang di-Pertuan Agong bertitah tidak perlu untuk melaksanakan darurat di Malaysia atau di mana-mana bahagiannya.
Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencadangkan darurat bagi menangani pandemik Covid-19.
Bagaimanapun pengkritik mengingatkan bahawa ekonomi sudah sedia lemah kerana sekatan pergerakan bagi mengekang penularan virus itu.
Muhyiddin, yang kerajaannya kini dalam bahaya selepas lapan bulan berkuasa, juga cuba mengelak daripada usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri, mahu Parlimen digantung dengan pelaksanaan darurat.
Yang di-Pertuan Agong turut bertitah agar ahli politik berhenti bermain politik, susulan tindakan untuk menukar kerajaan sejak September lalu oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim dan ancaman Umno untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin melainkan syarat baharu dipatuhi.
Sehingga kini, masih belum jelas apa langkah Muhyiddin seterusnya, di tengah spekulasi beliau mungkin meletakkan jawatan. Belum ada calon perdana menteri yang jelas mempunyai sokongan majoriti. Dakwaan Anwar bahawa beliau mendapat sokongan untuk menjadi perdana menteri seterusnya dibuat sebelum Muhyiddin cuba melaksanakan perintah darurat.
Felo kanan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) Azlan Awang berkata pergolakan politik berterusan akan menyebabkan masalah ekonomi dan kewangan yang serius yang mana golongan pekerja dan perniagaan kecil paling terjejas.
“Rakyat mahu masalah mereka diselesaikan, bukan masalah ahli politik.
“Rakyat mahu kerajaan terus membantu mereka dalam tempoh sukar pandemik.
“Untuk jangka masa panjang, kita perlu beri perhatian kepada isu pekerjaan, perlindungan sosial lebih baik dan jaminan yang baik kepada pekerja,” katanya.
Menurut MTEM, Malaysia sudah tersenarai sebagai destinasi terbaik di dunia untuk pelaburan dari segi perlindungan pelaburan dan kemudahan menjalankan perniagaan.
“Infrastruktur fizikal dan institusi kita sudah pun baik dan memenuhi standard antarabangsa, sekalipun tidak tersenarai sebagai yang terbaik di dunia.
“Tahap pendidikan dan kemahiran pekerja kita lebih baik berbanding negara membangun lain,” tambah Azlan.
Ketika negara mampu menarik nafas lega selepas berjaya mengelakkan daruat, MTEM menggesa ahli politik agar lebih mengamalkan hubungan dua pihak.
Pelaksanaan darurat akan menyebabkan Parlimen digantung, ketika Belanjawan 2021 akan dibentang dan dibahaskan oleh ahli Parlimen.
Kumpulan masyarakat sivil dan penganalisis turut menggesa ahli Parlimen mengadakan perjanjian keyakinan dan pembekalan untuk meluluskan belanjawan. – 26 Oktober, 2020.
Komen