USUL tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak wajar dipanjangkan lagi, kata penganalisis dan pakar undang-undang, selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah mahu semua pihak fokus kepada usaha melawan Covid-19 dan berhenti daripada politiking yang menggugat kestabilan kerajaan.
Pakar undang-undang perlembagaan Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussin berkata Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa dua minggu ini juga bukan tempat untuk menguji majoriti kerajaan Muhyiddin.
“Usul undi tidak percaya terhadap PM buat masa ini tidak wajar dijadikan suatu keutamaan oleh mana-mana pihak, khususnya dalam sidang Dewan Rakyat bulan depan.
“Pembentangan Belanjawan 2021 juga tidak wajar dijadikan forum untuk menguji kepercayaan ahli Dewan Rakyat terhadap kepimpinan PM,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Ahmad Fauzi dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) juga mencadangkan agar Muhyiddin menubuhkan sebuah majlis atau badan perundingan yang disertai pemimpin pembangkang.
Beliau mengulas keputusan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tidak memperkenankan permohonan pentadbiran Muhyiddin untuk pengisytiharan darurat bagi memerangi pandemik Covid-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan, semalam berkata Seri Paduka Baginda merasakan kerajaan sekarang “telah berjaya menangani wabak dengan baik dan berkesan”.
“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan, semalam.
__full.jpg)
Al-Sultan Abdullah juga berpendapat tiada perlunya ahli Parlimen “meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.”
Baginda juga menegaskan Belanjawan 2021 yang dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada 6 November penting kepada rakyat, untuk menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Sementara itu, penganalisis politik di Penang Institute Nidhal Muhajid melihat usul tidak percaya di Dewan Rakyat tidak harus dilihat sebagai satu bentuk permainan politik kerana ia sebahagian daripada proses demokrasi.
“Saya rasa harus diteruskan atas nama demokrasi berparlimen.
“Walaupun nampak macam berpolitik kerana pada masa ini kita menghadapi Covid-19, namun realitinya Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh,” katanya.
Nidhal menjelaskan “kerajaan yang kukuh” boleh dibentuk tanpa perlu melalui proses pilihan raya sekarang.
“Kerajaan yang kukuh pandangan saya bila seseorang calon PM mempunyai majoriti yang kukuh di Parlimen.
“Jadi, usul tidak percaya penting untuk tujuan tersebut,” katanya.
Beliau bagaimanapun bimbang realiti yang dibolehkan dalam proses demokrasi tidak mungkin difahami sepertimana sepatutnya oleh masyarakat umum.
“Saya khuatir tahap pemahaman umum terhadap isu yang berlaku. Orang marah, dan ada yang terlalu ghairah untuk tengok siapa perdana menteri selepas ini atau sekuat mana kerajaan Muhyiddin.
“Padahal, isu utama saya rasa perlu diberi perhatian ialah kredibiliti kerajaan untuk tadbir negara,” tambahnya.
Belanjawan 2021 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini, ketika majoriti kerajaan Muhyiddin terus diragui terutama selepas perkembangan politik sejak dua minggu lalu.
Pada 13 Oktober lalu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong mempersembahkan beliau sudah ada majoriti yang “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan.
Pada hari sama, Biro Politik Umno mencadangkan kepada parti untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin, sekiranya beberapa kerjasama politik mereka tidak dirundingi semula.
Seminggu kemudian Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun mengisytiharkan “gencatan politik” dan mengumumkan Umno menyokong pentadbiran Muhyiddin.
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini menulis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun meminta agar usul tidak percaya terhadap Muhyiddin diputuskan oleh Dewan Rakyat dengan segera.
Azhar bagaimanapun menegaskan beliau terikat dengan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat yang menetapkan urusan kerajaan didengar dan diputuskan terlebih dahulu sebelum usul persendirian.
Sekurang-kurangnya 16 ahli Parlimen pembangkang juga mengemukakan notis usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin untuk diangkat apabila Dewan Rakyat bersidang selama 27 hari bermula 2 November. – 26 Oktober, 2020.
Komen