Muhyiddin jumpa ketua parti


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan ketua parti politik di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan ketua parti politik di pejabatnya sebelum mesyuarat Kabinet hari ini, ketika timbul desa-desus beliau akan meletak jawatan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun tidak hadir meskipun diundang ke mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight Muhyiddin sedang membuat beberapa pertimbangan selepas Yang di-Pertuan Agong tidak bersetuju dengan permohonan kerajaan untuk pengisytiharan darurat bagi memerangi pandemik Covid-19.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC S. Vigneswaran antara yang kelihatan di Pejabat Perdana Menteri pada jam 10 pagi tadi.

Media melaporkan Muhyiddin akan mengadakan mesyuarat khas Kabinet jam 11 pagi ini.

Perdana menteri malam tadi meluangkan masa selama dua jam bersama semua menteri di kediamannya di Kuala Lumpur.

Susulan pertemuan itu, Muhyiddin keluarkan kenyataan bahawa Jemaah Menteri akan membincangkan lebih lanjut titah Yang di-Pertuan Agong mengenai tiada keperluan menguatkuasakan perintah darurat.

Keutamaan Jemaah Menteri sekarang ialah melindungi rakyat daripada wabak Covid-19, tambah beliau.

Selepas mesyuarat Kabinet pada Jumaat lepas, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyampaikan keputusan kerajaan untuk melaksanakan perintah darurat berikutan peningkatan drastik kes Covid-19.

Seri Paduka Baginda bagaimanapun menolak permohonan kerajaan, dan bertitah tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Presiden Umno Ahmad Zahid malam tadi berkata sebarang langkah besar yang hendak dibuat oleh kerajaan perlu melibatkan semua pihak.

“Ibrah episod ini jelas mendidik kita bahawa dalam melaksanakan sebarang langkah besar yang hendak dilakukan oleh kerajaan memerlukan proses musyawarah dan penglibatan secara konsensus semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

“Justeru, sewajarnya dimulakan satu inisiatif rekonsialisasi nasional yang merangkumi agenda politik, ekonomi, sosial dan keselamatan.” – 26 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Anuar Musa masuk je Bersatu, kalao tak sehala dgn pimpinan umno.

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh RUDY HARTONO · Ulasan