Pemuda Umno gesa henti main politik, junjung titah Agong


Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berharap semua ahli politik dapat mengambil pengajaran dan memahami maksud tersirat titah Yang di-Pertuan Agong semalam yang menggesa hentikan bermain politik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2020.

HENTIKAN segala percaturan politik merebut kuasa dan jawatan perdana menteri buat sementara waktu, gesa Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Ini antara lima perkara yang boleh dilakukan oleh semua ahli politik di negara ini bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong semalam supaya berhenti bermain politik.

“Hentikan segala percaturan politik berebut kuasa dan jawatan perdana menteri buat sementara waktu sehingga selesai pertarungan rakyat menghadapi pandemik Covid-19 dan kegawatan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf selain itu mencadangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadakan rundingan pra-persidangan Parlimen bersama presiden parti politik sama ada dari kerajaan atau pembangkang bagi memastikan Belanjawan 2021 diluluskan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau juga mencadangkan supaya Parlimen Batu Sapi dikekalkan status-quo sebagai kerusi Warisan tanpa perlu ditandingi mana-mana parti politik.

Kerusi Batu Sapi kosong susulan kematian penyandangnya Liew Vui Keong dari Warisan pada 2 Oktober lalu. 

Selain itu, beliau mencadangkan penglibatan semua wakil parti dalam satu jawatankuasa khas bagi menangani isu berkaitan pandemik Covid-19.

“Rundingan bi-partisan (kerajaan dan pembangkang) boleh diadakan secara berkala untuk memfokuskan segala agenda untuk membantu rakyat yang dalam keresahan akibat kesan kegawatan ekonomi yang makin meruncing,” jelasnya.

Pemuda Umno mengemukakan lima cadangan berkenaan selepas Muhyiddin gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Seri Paduka Baginda semalam bertitah mahu ahli politik berhenti segera daripada bermain politik, sebaliknya bersama-sama memainkan peranan masing-masing membantu Malaysia mengharungi masa sukar melawan Covid-19. – 26 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen