Kedai kopi rugi berganda ekoran arahan kerja dari rumah


Khoo Gek San

Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura berkata kedai-kedai kopi di sekitar Lembah Klang alami kerugian hampir 50% kerana pelanggan tidak berani datang makan di kedai sejak PKPB dikuatkuasakan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2020.

ARAHAN bekerja dari rumah bagi pekerja bahagian pengurusan dan penyeliaan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi satu lagi tamparan kepada pengusaha kedai kopi.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight arahan yang dikeluarkan minggu lalu menyebabkan penurunan drastik jumlah pelanggan, memburukkan lagi situasi yang mereka sedang hadapi.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) Ho Su Mong berkata kedai-kedai kopi di sekitar Lembah Klang alami kerugian hampir 50% kerana pelanggan tidak berani datang makan di kedai sejak PKPB dikuatkuasakan.

“Perniagaan kedai kopi pulih 60% sebelum PKPB dikuatkuasakan, tetapi sejak kes Covid-19 naik semula ramai orang tak berani makan di luar.

“Pengendali menjangkakan perniagaan mereka akan rugi teruk selepas PKPB. Pemilik kedai kopi sekarang sudah mula kurangkan kos bahan makanan.

“Bagaimanapun, sewa kedai, bil utiliti dan gaji pekerja tidak boleh dikurangkan,” katanya.

Persatuan itu sebelum ini berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM1 juta sebagai usaha untuk membantu peniaga terus bertahan.

Namun kata Ho, gelombang ketiga pandemik Covid-19 menyebabkan semua orang mengalami masalah kewangan, termasuk mereka yang menderma kepada dana berkenaan.

Ho menggesa kerajaan memberi pinjaman tanpa faedah kepada pengusaha kedai kopi dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan bulan depan.

“Pinjaman tanpa faedah antara RM10,000 hingga RM50,000 kepada pengusaha kedai kopi sebagai untuk beri sedikit kelegaan kepada mereka. Saya percaya ekonomi akan pulih dalam tempoh setahun dan pengusaha ini boleh membayar semula pinjaman.”

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Kedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur Chris CH Lee berkata pemilik kedai di Lembah Klang sedang berjimat sebanyak yang mungkin dalam tempoh yang sukar ini.

“Sewa kedai di Lembah Klang mahal, antara RM10,000 hingga RM20,000 sebulan dan bergantung pada lokasi.

“Pengusaha kedai kopi tiada pilihan selain berbincang dengan pemilik untuk kurang sewa. Mereka juga kurangkan pekerja dan terpaksa berhentikan pekerja asing.

“Waktu perniagaan juga dihadkan disebabkan wabak. Misalnya, kedai hanya menyajikan sarapan dan makan tengah hari, tutup pukul 4 petang,” kata Chris.

Tambah beliau, beberapa pengusaha lebih menggalakkan pelanggan membungkus makanan daripada makan di kedai.

“Dengan keadaan pasaran sekarang, nak tutup perniagaan pun susah. Tiada siapa akan ambil alih perniagaan kedai kopi waktu ini.

PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang dijadualkan tamat pada 27 Oktober dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 9 November. – 29 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen