Muhyiddin batal mesyuarat dengan semua menteri besar esok, kata sumber


Warga Malaysia dilihat menyokong keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan kerajaan Muhyiddin untuk pengisytiharan darurat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

MESYUARAT Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan ketua-ketua kerajaan negeri yang dijadual esok sudah dibatalkan, kata beberapa sumber.

The Malaysian Insight dimaklumkan semua menteri besar dan ketua menteri sudah dimaklumkan mengenai pembatalan mesyuarat itu, tidak lama selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan mengenai titah Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan kerajaan Muhyiddin untuk pengisytiharan darurat.

Seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar Selangor berkata pihak mereka telah dihubungi oleh Putrajaya memaklumkan mesyuarat esok batal.

Seorang pegawai kepada menteri besar yang enggan identitinya didedahkan juga mengesahkan menerima makluman yang sama.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan semua menteri besar dan ketua menteri dipanggil untuk satu mesyuarat tergempar di Putrajaya esok, tidak lama selepas Raja-Raja Melayu selesai mengadakan sidang khas di Istana Negara, petang tadi.

Agenda mesyuarat berkenaan tidak didedahkan, kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan mesyuarat dipanggil pada pukul 9 pagi di Putrajaya.

Selepas pertemuan Raja-Raja Melayu petang tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat tidak perlu baginda mengisytiharkan darurat bagi memerangi pandemik Covid-19.

Seri Paduka Baginda merasakan kerajaan sekarang “telah berjaya menangani wabak dengan baik dan berkesan”, katanya.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak,” kata Ahmad Fadil. – 25 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen