Semerbak Musang King di Melbourne


(Dari kiri) Matt Oram, Scott Everard and James Manolios rakyat Australia menikmati durian pada festival durian di Melbourne. — Gambar The Malaysian Insight, 17 Disember, 2017.

SEMALAM sebuah bufet durian dibuka di Melbourne, Australia menarik lebih 300 orang penggemar durian yang digoda keharuman Musang King.

Festival Musang King itu yang membawa budaya Malaysia kepada penduduk Melbourne diadakan di Dockland berhampiran dengan Victoria Harbour Esplanade.

Bagi rakyat Malaysia dan mereka yang berasal dari rantau Asia Tenggara, ia adalah kenikmatan untuk menikmati durian kualiti terbaik yang diterbangkan oleh Durian Australia dari dusun mereka di Kamunting, Taiping.

Rakyat Australia pula yang sudah mengenali raja buah itu kelihatan menikmati ulas durian terbaik walaupun menggunakan sarung tangan.

Bagi mereka yang belum mengenalinya, wujud perasaan bercampur baur antara teruja dan kejelikan menghidu bau raja buah itu yang tengik.

“Sudah terlalu lama kami tiada majlis seperti ini,” kata Kenry Tan, seorang pesara berasal dari Medan, Indonesia ketika dia dan isterinya, Dyana menjamu selera mereka pada festival yang menawarkan durian tanpa had itu.

Bukan hanya Musang King segar dan D24 ditawarkan pada festival itu. Terdapat juga gelato dan mochi untuk mereka yang manis giginya, serta hidangan lain termasuklah lempeng dan popiah sehinggalah kepada bebola panas dan kepalan ais, dan air kelapa segar sebagai penyegar selera.

Jurutera penyiaran TV, James Manolios dan rakannya, pengetua sekolah asrama Scott Everard serta perunding IT Matt Oram pula menikmati durian menggunakan tangan dan jari mereka, seperti mana cara “orang tempatan” menikmatinya, sambil mengimbau kembali lawatan mereka ke Jalan Alor di Kuala Lumpur, Thailand dan Singapura.

“Dulu saya benci. Saya adalah orang terakhir dalam kalangan kami yang sukakan durian,” akui Manolios, 29 tahun.

“Tetapi bila saya dah mula makan (sudah jadi pencinta durian),” katanya lagi

Everard,33, dan Oram, 27, pula pertama kali merasai durian yang dimasak dalam lempeng yang dijual di kawasan penuh orang Asia di Melbourne, Box Hill.

Berhampiran mereka pula adalah pasangan warga Rusia, Roman Khafizianov,26, seorang pengatucara perisian komputer dan isterinya, Anastasia, 24 sedang duduk bersama-sama anak lelaki mereka, Matthew,4, dan Martin,2.

Keluarga kecil itu yang bekerja sambil mengembara pertama kali dijangkiti “demam durian” di Thailand tiga tahun lepas. Tetapi Anastasia mengambil masa setahun untuk mula merasainya di Bali, Indonesia. Kini, mereka tidak lagi boleh melupakan kenikmatan ditawarkan buah berduri itu.

“Di Singapura, kami tinggal di kawasan yang penuh dengan gerai durian. Kami kena makan setiap hari,” kata Khafizianov yang baru tiba dari Singapura dua minggu lalu.

“Saya tak peduli berapa harganya. Saya kena makan.”

Hayden Richardson, 55, pula pertama kali menikmati durian menerusi lempeng, gelato dan pelbagai produk lain sehinggalah pasangannya, Alkie dari Hong Kong memperkenalkannya kepada ulas durian segar.

Warga Rusia Roman Khafizianov dan isterinya, Anastasia, memberikan ulas durian kepada anak lelaki mereka, Matthew, 4, dan Martin, 2. — Gambar The Malaysian Insight, 17 Disember, 2017.

Di luar kawasa festival durian itu, tiga majlis lain sedang berlangsung dan bau Musang King boleh dihidu sampai ke situ. Salah satunya adalah majlis sambutan akhir tahun sebuah syarikat untuk pekerja mereka. Ketika mereka menikmati majlis mereka, bau durian itu terlalu sukar untuk diabaikan.

“Ya, saya boleh hidu sesuatu yang pelik,” kata Stephanie Lountzis.

“Apa itu?” tanyanya.

Di sebelah Lountzis, Mikkayla Mossop, 28, menjelaskan: “Durian boleh jadi ‘super fruit’ seterusnya.”

“Di Afrika dan negara dunia ketiga…ia kaya dengan protein dan sebagainya.”

Tinjauan rambang kepada 30 orang di majlis itu mendapati hanya lapan yang mengatakan mereka tidak boleh menerima bau kuat durian. Tetapi hanya sebilangan kecil yang cukup berani pergi mencuba durian.

Mossop yang sebelum ini teruja dengan buah itu juga mengambil masa lama untuk mencuba seulas durian, dan terpaksa dipujuk untuk cuba menikmatinya.

“Boleh tahan,” katanya sambil mengambil seulas lagi durian.

“Semua orang menikmatinya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Duria Australia Adam Ng pada majlis pembukaan bufet selama dua hari itu.

Dua lagi sesi bufet durian akan diadakan hari ini. Tiket sesi pertama untuk 200 orang (6-7.30pm) sudah habis dijual, tetapi masih ada tempat untuk sesi kedua pada jam 8 sehingga 9.30 malam. – 17 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen